Sorting by

×

DUA ANGGOTA MARITIM MALAYSIA CEDERA DIREMPUH BOT PANCUNG

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LINGGI 17 September – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas bot mereka dirempuh sebuah bot pancung yang disyaki membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejadian berlaku selepas Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan sebuah bot mencurigakan berada di perairan Skim Pemisahan Trafik (TSS).

Katanya, bos berkenaan dipercayai sedang menuju masuk ke perairan Tanjung Rhu, Sepang, Selangor pada jam 8 malam.

“Susulan menerima pengesanan itu, bot ronda Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima telah diatur gerak bagi memintas bot terbabit.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pancung berkenaan bertindak agresif dengan melanggar sisi kiri bot operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Salehuddin, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu sengaja merempuh aset Maritim sehingga menyebabkan kerosakan teruk sebelum berjaya melepaskan diri ke tengah laut.

Dalam insiden berbahaya itu, dua anggota berpangkat Laskar Kanan Maritim, masing-masing berusia 34 dan 36 tahun, mengalami kecederaan.

“Seorang cedera di bahagian atas hidung manakala seorang lagi cedera di kaki dan tangan akibat hentakan.

“Kedua-duanya dihantar ke Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata susulan rempuhan itu, bot yang membawa PATI itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post PENYU ILHAM HASILKAN CENDERAHATI
Next post WTD 2025: INAP DESA, KAMPUNGSTAY MELAKA TIDAK NAIK HARGA