Dua cedera bas ekspres terbalik di Lebuh Raya PLUS

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Seorang wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata hasil siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.

Menurut Zainal, setibanya di Kilometer 443, bas terbabit yang dipandu di lorong paling kiri tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan dan seterusnya terbalik ke kiri.

“Tiada sebarang kecederaan parah direkodkan. Penumpang yang lain telah dibawa ke TBS menaiki kenderaan syarikat bas ekspres terbabit selepas semua dipastikan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Shaifuddin Mohd Nor menerusi talian 0176645812 atau 0361262222.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1792
Kongsi :
Previous post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Julai 2022
Next post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Ogos 2022
Ubah saiz-+=