Dua maut, kereta dinaiki dirempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 9 Jun – Dua maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua buah lori di Jalan Jasin-Merlimau, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi itu, pemandu dan penumpang Perodua Myvi iaitu Masitah Mohamed, 27, dan Nurul Syakirin Ahmad Mokhtar, 24, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan maut itu membabitkan lima kenderaan iaitu Perodua Viva, Perodua Alza, Perodua Myvi dan dua buah lori.

Katanya, sebelum kejadian kesemua lima kenderaan terbabit berada dilaluan sama iaitu dari arah Jasin menghala ke Merlimau.

“Setibanya di Jalan Jasin – Merlimau lori dipandu lelaki berusia 44 tahun dipercayai cuba memotong Perodua Viva dan Perodua Alza tetapi gagal lalu cuba masuk ke laluan asal.

“Namun semasa bergerak masuk ke laluan asal pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal lori lalu bergesel dengan kedua-dua kenderaan terbabit dan merempuh kereta dinaiki mangsa yang ketika itu sedang berhenti.

“Akibat masih gagal memberhentikan kenderaan dipandunya, lori itu kemudian melanggar sebuah lagi lori muatan sawit yang ketika itu juga sedang berhenti,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian Perodua Viva, Perodua Alza, Perodua Myvi dan lori sawit berada dalam keadaan berhenti kerana terdapat proses membaiki jalan.

“Akibat kemalangan itu pemandu dan penumpang Perodua Myvi disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dan seorang penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera.

“Kesemua kenderaan yang terlibat kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut selain siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post Nahas bas Rompin: Hasnatul Adilah sempat tanya keadaan anaknya
Next post KPM sedang dapatkan laporan penuh kemalangan babitkan guru
Ubah saiz-+=