DUN Melaka lulus penubuhan Kumpulan Wang Amanah DHB

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 9 Julai – Persidangan Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 meluluskan usul penubuhan Kumpulan Wang Amanah Dana Hartanah Bumiputera (DHB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penubuhan itu diusulkan selaras Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Jelas Ketua Menteri, penubuhan itu sebagai keperluan disarankan Jabatan Audit Negara dan Negeri Melaka bagi menambah baik pengurusan kewangan serta pengurusan bayaran pinjaman DHB di negeri ini.

“Penubuhan Kumpulan Wang Amanah DHB ini adalah sebagai penambahbaikan melibatkan Kerajaan Negeri dan Melaka Finance House Berhad (MFHB).

“DHB merupakan pinjaman perumahan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berdasarkan Risalat MMKN Bil.32/2019 bertarikh 23 Oktober 2019 dan disahkan pada 6 November 2019.

“Perjanjian bagi pemberian pinjaman DHB telah dimeterai antara Kerajaan Negeri dan MFHB pada 26 Oktober 2022 dengan mula berkuat kuasa pada 7 Julai 2020.

“Pinjaman di bawah DHB diuruskan MFHB diteruskan sehingga kini manakala pengurusan terimaan dan penyaluran peruntukan MFHB adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Am Negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, terimaan sebanyak RM38.243 juta, manakala penyaluran pula sebanyak RM30.814 juta kepada MFHB direkodkan setakat 14 Mac yang lalu.

Ujarnya, selain itu, agensi berkenaan juga berjaya membuat bayaran balik pokok pinjaman berjumlah RM482,533.66.

“Untuk makluman, seramai 384 rakyat Negeri Melaka telah menerima manfaat melalui pinjaman DHB dengan nilai sebanyak RM29.869 juta yang telah dikeluarkan oleh MFHB sehingga 29 Februari 2024,” katanya.

Terdahulu Ab Rauf membentangkan usul itu yang kemudian dibahaskan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-RIM) mewakili blok Kerajaan Negeri dan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) dari blok pembangkang.

Pada akhir undian, usul itu menerima sokongan majoriti 21 undi, manakala tiga berkecuali dan empat Adun tidak hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post Pusat pelancongan swasta tunjuk minat sertai Melaka Bila Larut Malam
Next post Pelbagai promosi pelancongan bersama Fan Bingbing
Ubah saiz-+=