MeSRa PENGANGKUTAN: MELAKA BUKA PELUANG DARI JALAN RAYA KE AWAN BIRU

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) dalam sektor pengangkutan bukan hanya memberi tumpuan kepada kemudahan mobiliti, malah membuka laluan kepada rakyat mendapatkan kemahiran, pendidikan dan peluang kerjaya dalam industri berkenaan.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan mendapatkan lesen motosikal bagi golongan B40, pembangunan industri penerbangan serta peluang latihan kepada anak Melaka untuk membina kerjaya dalam sektor berkemahiran tinggi.

MOBILITI BERMULA DENGAN AKSES

Antara inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat ialah Program MeSRa Lesen Motosikal Percuma yang memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan lesen motosikal kelas B2 tanpa bayaran.

Menerusi Program MyLesen, lebih 2,500 peserta menerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM175,000.

Kemudahan memiliki lesen itu bukan sahaja membantu urusan pergerakan harian, malah memberi akses lebih luas kepada peluang pekerjaan dan pendidikan yang memerlukan kemudahan pengangkutan persendirian.

Inisiatif MeSRa Lesen Motosikal Percuma itu memberi tumpuan kepada golongan B40 bagi membantu mereka memiliki lesen motosikal secara sah.

PELUANG PEKERJAAN MENERUSI INDUSTRI PENERBANGAN

Pada skala yang lebih besar, agenda pengangkutan turut diterjemahkan menerusi pembangunan industri penerbangan yang berpotensi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

Pembangunan kilang pemasangan serta hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter oleh The Weststar Group di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dijangka membuka kira-kira 2,000 peluang pekerjaan.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Pusat Kecemerlangan Penerbangan yang merangkumi pusat latihan penerbangan helikopter, hab MRO dan hab logistik helikopter.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata, pembangunan berkenaan bukan sekadar membabitkan pembinaan infrastruktur, malah membuka peluang pekerjaan, membina kemahiran tempatan serta menjadikan Melaka sebagai hab penerbangan serantau.

ANAK MELAKA DIBERI LALUAN KE LANGIT

Peluang membina bakat tempatan turut diperluas apabila 20 anak Melaka daripada keluarga B40 dipilih menerima tajaan latihan kadet juruterbang oleh International Aero Training Academy (IATAC).

Latihan selama tiga tahun itu dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) IATAC dengan nilai pelaburan masa depan hampir RM10 juta.

Ketua Menteri menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai peluang kepada anak daripada keluarga sederhana mengejar impian menjadi juruterbang profesional, selain membuka laluan kepada generasi muda menceburi industri penerbangan.

DARIPADA MOBILITI KEPADA MASA DEPAN

Daripada membantu golongan B40 mendapatkan lesen motosikal kepada menyediakan peluang latihan dan pekerjaan dalam industri penerbangan, gagasan MeSRa dalam sektor pengangkutan merangkumi keperluan rakyat pada beberapa peringkat.

Akses kepada pengangkutan membantu rakyat bergerak untuk urusan harian, manakala kemahiran, pendidikan dan peluang pekerjaan membuka ruang kepada mobiliti ekonomi yang lebih luas.

Pada masa sama, pembangunan industri penerbangan mewujudkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus memberi ruang kepada anak Melaka membina kerjaya dalam sektor berkenaan.

Pendekatan itu memperlihatkan sektor pengangkutan bukan hanya berkaitan pergerakan dari satu lokasi ke lokasi lain, tetapi turut berkait dengan akses kepada pendidikan, pekerjaan dan pembangunan bakat, sekali gus impaknya dirasai rakyat Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post ZON BEBAS KENDERAAN: PELANCONG AKUI LEBIH SELAMAT, SEMAKIN SELESA BERSANTAI DI BANDA HILIR
Next post IPU TIDAK SIHAT: SEKOLAH DI MELAKA DITUTUP LAGI ESOK