RTB SUNGAI RAMBAI BAKAL NOKTAHKAN RISIKO BANJIR, BERI MANFAT KEPADA 30,000 PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SUNGAI RAMBAI 13 Oktober – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai diumumkan pada Belanjawan 2027 bakal memberi manfaat kepada lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Antara yang paling mendapat manfaat hasil pelaksanaan projek itu nanti adalah petani dan pesawah yang sebelum ini kerap mengalami kerugian setiap kali bencana banjir melanda tanah diusahakan.

Penyandang kerusi DUN Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perkembangan penting selepas perjuangan sejak sekian lama bagi mendapatkan RTB Sungai Rambai.

Katanya, cadangan membina RTB Sungai Rambai bermula ketika kempen pilihan raya pada 2021, apabila beliau menyaksikan sendiri kesan akibat banjir melanda DUN berkenaan.

“Ketika berkempen beberapa kampung dilanda banjir termasuk Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Janda Berhias dan Kampung Parit Penghulu. Memburukkan lagi keadaan apabila ada penempatan berkenaan mengalami masalah banjir termenung.

“Susulan itu saya membangkitkan keperluan berhubung pembinaan RTB Sungai Rambai sebagai penyelesaian khusus menangani banjir.

“Ditambah pula sudah ada dua RTB iaitu RTB Jasin dan RTB Merlimau mengapa tidak diperluaskan ke Sungai Rambai,” katanya ketika ditemui di selepas meninjau lokasi cadangan RTB Sungai Rambai di Parit Putat, di sini, semalam.

Menurut Siti Faizah, masalah banjir berulang bukan sahaja menjejaskan kawasan penempatan, malah memberikan kesan buruk kepada sektor pertanian setempat.

“Apabila berlaku banjir pesawah dan petani berdepan risiko kerugian, ada hasil tidak dapat dituai kerana sudah rosak akibat digenangi air.

“Sehubungan itu, kita berharap pelaksanaan RTB ini dapat memberikan penyelesaian lebih menyeluruh kepada masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk DUN Sungai Rambai,” katanya.

Katanya, usaha menangani masalah banjir memerlukan penelitian menyeluruh serta perbincangan dengan pihak berkepakaran bagi memastikan penyelesaian dirancang bersesuaian dengan keadaan sebenar di lapangan.

“Usaha ini bukan sekadar perbincangan di meja bulat sebaliknya memerlukan penelitian bersama pakar dan pihak berkaitan supaya pendekatan yang diambil benar-benar dapat membantu menyelesaikan masalah banjir.

“Malah sebelum pembubaran DUN saya sempat meluangkan masa turun ke lapangan bagi melihat usaha menangani banjir yang telah dilakukan kerana ini antara yang rakyat ingin tahu.

“Alhamdulillah, pengumuman RTB Sungai Rambai dalam Belanjawan 2027 amat disyukuri kerana ia hasil usaha berterusan untuk memastikan kebajikan penduduk dan kepentingan sektor pertanian terus diberi perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

534
Kongsi :
Previous post MAIM PERSIAP ANAK ASNAF TEMPUH ALAM KERJAYA
Next post MeSRa: MELAKA SALUR JUTAAN RINGGIT BELA NELAYAN, JAGA PETANI DAN PESAWAH