Sorting by

×

ECO-CRUISE TASIK CHINCHIN TAWAR PROMOSI TIKET SERENDAH RM5

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

RIM 22 Julai – Rakyat Melaka atau pengunjung dari luar negeri ini sedang mencari lokasi santai yang menarik dipelawa untuk merebut peluang merasai pengalaman belayar bersama Eco-Cruise Tasik Chinchin, dengan tawaran harga serendah RM5 sehingga 31 Julai ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran itu bersempena pelancaran Eco-Cruise Tasik Chinchin sebagai produk pelancongan eko pelancongan baharu di negeri ini membabitkan kawasan Melaka Selatan.

“Perbadanan Pembangunan Sungai Pantai Melaka (PPSPM) telah menyediakan sebuah bot Eco-Cruise berkapasiti 30 penumpang bagi setiap sesi selama 30 minit sambil menikmati pemandangan dan mengenali asal usul Kampung Chinchin.

“Melihat kepada potensi besar kawasan ini serta daya tarikan unik yang ditawarkan oleh Kafe Markisa dan Taman Ekstrem Chinchin yang juga baru sahaja dinaik taraf, saya yakin Tasik Chinchin bakal muncul sebagai satu lagi ikon pelancongan unggul di Melaka.

“Sejak mula ia diperkenalkan pada 11 Julai yang lalu, sambutan yang diterima amat luar biasa sehingga PPSPM berjaya merekodkan lebih 70 trip dengan kehadiran melebihi 1,500 pengunjung tempatan dan luar negeri hanya dalam tempoh 11 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Eco-Cruise Tasik Chinchin diadakan di Taman Ekstrem Tasik Chinchin, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Barisan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan dua pakej istimewa lain iaitu Promosi Tiket Khas diperkenalkan bersempena Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember depan.

Jelasnya, menerusi tawaran itu tiket akan dijual pada harga RM 5 buat kanak-kanak warganegara; RM10 dewasa warganegara; RM25 bagi pelancong kanak-kanak luar negara dan RM30 buat pelancong dewasa luar negara.

“Bagi tawaran istimewa yang ketiga, bersempena sambutan ulang tahun PPSPM ke-20 tahun kita turut melancarkan inisiatif “Cruise MADANI!”.

“Pembelian tiket bernilai lebih RM50 bagi mana-mana produk Melaka River Cruise mulai 5 Julai hingga 31 Disember tahun ini, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama iaitu sebuah kereta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post RM1.5 JUTA PULIH BENTENG PANTAI SIRING GUNA KAEDAH ‘ROCK REVETMENT’
Next post ‘MEKAR’ SUNTIK NILAI KASIH SAYANG DALAM KELUARGA ASNAF