Empat Geng 36 minta dibicarakan atas pertuduhan rompak berkumpulan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Empat ahli kongsi gelap Geng 36 termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan, awal bulan ini.

Tertuduh, M. Jeyamurugan, 37; bersama adiknya Rejenderan, 35, dan rakan M.Murali, 32, serta K.K Anbu Kaniyan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan dengan bersenjatakan sebilah parang terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun dan mengambil harta melibatkan kerugian kira-kira RM500,000 di tingkat 12-1 Kondominium Lagenda Jalan Klebang Besar/Kecil dalam daerah Melaka Tengah, pada 5 Jun lalu, kira-kira jam 10.30 malam.

Antara barang yang diambil termasuklah sebatang taring dan kuku binatang, 13 bilah pedang pelbagai jenis, seutas jam Patek Philippe, sebuah bekas tertera tulisan Doshermano di dalamnya mengandungi curut berwarna coklat dan empat bilah keris.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan memaklumkan mangsa kejadian merupakan kenalan kepada seorang daripada tertuduh dan bimbang dengan keselamatan mangsa, selain tertuduh mempunyai rekod lampau jenayah.

Peguam Alif Ahmad Tarmizi yang mewakili semua tertuduh merayu jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan masing-masing, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post Pelajar 15 tahun mengaku bersalah halang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu
Next post SOP Aidiladha hampir sama seperti tahun lalu- Sulaiman
Ubah saiz-+=