Pelajar 15 tahun mengaku bersalah halang tugas penjawat awam dan memandu secara melulu

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Seorang pelajar berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan menghalang penjawat awam dan memandu secara berbahaya dalam kejadian Sabtu lalu.

Remaja terbabit mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes disebut semula pada 12 Ogos depan untuk mendapatkan laporan akhlak serta fakta dan hukuman.

Bagi kes pertama dia didakwa menghalang Koperal Mohd Nazatul Ridzwan Md Ibrahim daripada menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang dengan tidak memberikan kerjasama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Seterusnya, remaja itu sebagai pemandu pacuan empat roda, didakwa memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan keadaan yang boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan remaja terbabit di Jalan Bukit Baru-Duyong pada jam kira- kira 6.30 petang, pada 12 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jaminan RM8,000 bagi pertuduhan menghalang penjawat awam dan RM5,000 untuk memandu secara berbahaya.

Peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan rendah dan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000.

BERITA BERKAITAN: Pelajar 15 tahun pandu ‘4×4’ bawa dua rakan sekolah dicekup

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1745
Kongsi :
Previous post Melaka belum terima tambahan dos vaksin COVID-19
Next post Empat Geng 36 minta dibicarakan atas pertuduhan rompak berkumpulan
Ubah saiz-+=