Pelajar 15 tahun pandu ‘4×4’ bawa dua rakan sekolah dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 14 Jun – Sudahlah tiada lesen memandu, tiga pelajar berusia 15 dan 16 tahun nekad melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton selepas dipercayai panik melihat anggota polis di satu sekatan jalan raya di di Jalan Bukit Baru – Duyong, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kenderaan itu yang dipandu seorang daripada mereka berusia 15 tahun dilihat mencurigakan apabila  melakukan pusingan U ketika menghampiri sekatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihak polis kemudiannya mengejar kenderaan terbabit dan meminta remaja terbabit memberhentikan kenderaan, namun dia cuba menghimpit kenderaan polis hingga hampir terbabas.

Menurutnya, anggota polis mengejar kenderaan terbabit sejauh 15 kilometer dari lokasi SJR sehingga ke Kampung Balik Bukit, Bukit Larang sebelum kenderaan itu didapati berhenti di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Menurutnya, sejurus berhenti, ketiga-tiga remaja berkenaan cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas anggota polis.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka yang masih bersekolah cuba mencuri-curi keluar untuk bersiar-siar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan memandu kenderaan itu tanpa lesen.

“Kenderaan tersebut didaftarkan di atas nama bapa saudara seorang daripada remaja itu dan mengikut keterangan, bapa saudaranya tidak mengetahui kenderaan terbabit digunakan anak saudaranya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga remaja berkenaan direman selama tiga hari bermula 12 Jun hingga hari ini, dan perintah reman itu akan disambung.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan lalu lintas.

“Selain itu, polis juga mengeluarkan dua kompaun bernilai RM1,500 setiap satu kepada ketiga-tiga remaja terbabit mengikut Peraturan 4(2) dan Peraturan 16 atas kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pemilik kenderaan juga bakal berdepan tindakan kompaun di bawah Seksyen 26(1) B Akta Pengangkutan Jalan 1987 membenarkan seseorang memandu tanpa lesen,” katanya.

Justeru, Afzanizar mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar tidak membenarkan anak-anak memandu tanpa lesen yang sah kerana ia bukan sahaja membahayakan anak-anak, bahkan turut berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

883
Kongsi :
Previous post Lelaki India miliki keluarga terbesar di dunia sudah tiada!
Next post PPV MMU sedia beroperasi mulai 16 Jun
Ubah saiz-+=