
‘EX KESIDANG’ TINGKAT KESIAPSIAGAAN PASUKAN KESELAMATAN SEMPENA WTD, WTC 2025
AYER KEROH 19 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama lebih 40 agensi keselamatan dan kesihatan menyertai Latihan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex-Kesidang) sebagai persediaan menghadapi Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025, minggu depan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata latihan berkenaan dipilih menggunakan nama bunga kesidang yang sinonim dengan Negeri Melaka sebagai simbol kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam memastikan negeri ini sentiasa dalam keadaan bersedia.
Katanya, latihan itu menumpukan kepada prosedur pengurusan bencana berpandukan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 18, selain turut memasukkan simulasi elemen ancaman keganasan.
“Kita tumpukan kepada arahan MKN 18 dan MKN 21, jadi kita rangkumkan semua.
“Jadi apa yang diadakan pada latihan ini adalah sebagai persediaan awal untuk memastikan apa juga perkara yang bakal terjadi, kita sudah bersedia.
“Ia memberi peluang kepada semua agensi keselamatan untuk menyelaraskan peranan masing-masing sekiranya berlaku insiden tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi latihan berkenaan di Dewan Bistari Ayer Keroh, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata latihan itu melibatkan lebih 40 agensi termasuk pasukan keselamatan dan kesihatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.
“Latihan itu bukan sahaja untuk menghadapi acara besar pada bulan ini, malah ia akan menjadi panduan kepada agensi keselamatan dalam berdepan apa jua situasi kecemasan pada masa akan datang,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.