Expo 2020 Dubai: Melaka Week potensi tarik pelaburan, perniagaan RM6.52 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

DUBAI – Melaka Week di Expo 2020 Dubai mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menarik nilai pelaburan dan potensi perniagaan berjumlah keseluruhan RM6.52 bilion.

Nilai itu membabitkan pemeteraian lapan memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) selain cadangan pelaburan RM420 juta oleh Lulu Group International, konglomerat dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membuka rangkaian pasar raya serta pusat eksport di Melaka dalam masa tiga tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain itu daripada keseluruhan acara padanan perniagaan oleh agensi kerajaan dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) setakat semalam Melaka berjaya mendapatkan lebih RM500 juta nilai potensi perniagaan.

“Alhamdulillah kerajaan negeri Melaka sangat bersyukur kerana Melaka Week telah berjalan dengan lancar, mencapai matlamat dan sasaran sebenar.

“Bagi saya ini adalah satu pencapaian cukup baik dan cukup menarik boleh kita banggakan,” katanya pada sidang media bersempena hari terakhir Melaka Week di Expo 2020 Dubai, 18 Mac lalu.

Katanya, sepanjang Melaka Week yang menarik lebih 40,000 pengunjung itu, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti forum, ‘business talk’, pertukaran memorandum persefahaman dan padanan perniagaan.

Antara MoU yang berjaya dimeterai ialah membabitkan Projek Melaka Gateway yang akan dibangunkan di koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Katanya, KAJ Development Sdn Bhd selaku pemaju utama projek berkenaan telah menandatangani MoU dan bertukar dokumen perjanjian (MoA) bersama tiga pelabur bagi pembangunan PME1 dengan nilai RM5 bilion.

Antara yang dimeterai ialah pembangunan taman tema bertaraf antarabangsa, pembangunan Melaka International Cruise Terminal (MICT) dan membangunkan Zon Bebas Cukai di Pulau 1 (PME 1) Melaka Gateway.

Jelasnya, expo berkenaan turut menyaksikan MoU di antara Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Konsortium Nusa Baiduri untuk mengadakan kajian kemungkinan dan pembangunan ladang solar terapung atas air berkapasiti 150 megawatt di Empangan Durian Tunggal dengan nilai pelaburan sebanyak RM600 juta.

Selain itu, beberapa MoU lain turut dimeterai membabitkan sektor digital, pendidikan, pelancongan dan produk makanan sepanjang Minggu Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post Mahkamah Tinggi perintah buruh tetak peguam dipenjara setahun, didenda RM10,000
Next post Ucapan dasar Zahid tiup semangat penyatuan – Komponen BN
Ubah saiz-+=