Fasa kedua kilang Leuze tambah pelaburan RM200 juta

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BUKIT RAMBAI 20 Julai – Kilang pengeluar dan pembuatan alat elektronik sensor, Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd dijangka mengembangkan lagi nilai pelaburan di negeri ini pada pembinaan fasa keduanya tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata perkara itu sekali gus akan mengembangkan sekali ganda nilai pelaburan pada fasa pertama iaitu sebanyak RM200 juta.

Katanya, dengan perkembangan fasa kedua kilang Leuze itu akan membuka sehingga 100 peluang pekerjaan lagi.

“Kilang pembuatan dan pengeluar alat elektronik sensor ini dijangka akan mengembangkan lagi ‘production line’ yang kini ada lapan kepada 16 production line pada fasa kedua nanti.

“Dijangka fasa kedua itu akan dilaksanakan pada tahun hadapan di mana nilai pengembangan (dalam) pelaburan sekali ganda dan lebih 100 peluang pekerjaan ditawarkan kepada anak tempatan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Kilang Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd itu di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; EXCO Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kilang yang dibina semasa pandemik COVID-19 itu memakan masa 16 bulan untuk disiapkan dan sehingga kini mempunyai 70 pekerja.

Ujarnya, kilang yang berpengkalan di Jerman itu memilih Melaka sebagai lokasi ketiga selepas China dan Singapura untuk mengembangkan lagi ‘production line’.

“Saya turut dimaklumkan kilang Leuze ini telah beroperasi sejak tahun 1961 dan pada awalnya hanyalah kilang membuat tekstil sahaja.

“Dan pada 1962 kilang Leuze ini telah mengubah produknya dari tekstil kepada alatan sensor kerana ketika pembuatan tekstil itu sensor mesin telah rosak namun sukar untuk membetulkan alatan itu dan dari kejadian itu pengasas telah menukar penghasilan produk tekstil kepada menjual alatan sensor,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3864
Kongsi :
Previous post UTeM Jayakan Misi Kembara Persaudaraan Islam UTeM-Kemboja
Next post Pertandingan memancing, video TikTok jadi tarikan Hari Belia daerah Alor Gajah
Ubah saiz-+=