FGV Holdings Berhad serah zakat perniagaan RM200,000 kepada MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 5 September – FGV Holdings Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM200,000 kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor berkata zakat perniagaan itu merupakan kewajipan pihaknya untuk menyalurkan semula hasil perniagaan ke Negeri Melaka melalui Zakat Melaka.

Katanya, keseluruhan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV yang akan ditunaikan pada tahun ini adalah berjumlah RM35.3juta berdasarkan keuntungan pada tahun 2022.

“Di Melaka, kumpulan FGV melalui anak-anak syarikatnya iaitu Felda Travel dan Delima Oil Produk (DOP), syarikat pengeluar barangan SAJI turut beroperasi di sini (Melaka) maka kita mahu kembalikan semula hasil kepada Melaka.

“Keuntungan itu kami akan diagihkan mengikut saiz operasi syarikat-syarikat kami di negeri-negeri seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“FGV sentiasa memberi komitmen sepanjang tahun dalam menunaikan kewajipan berzakat demi memenuhi tuntutan Islam dan FGV juga merupakan antara pembayar zakat perniagaan terbesar bagi syarikat senaraian awam bumiputera (BLPC) selama beberapa tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV 2023 di sebuah hotel milik anak syarikat FGV Holdings Berhad di sini, hari ini.

Pada majlis terbabit, Mohd Nazrul Izam menyerahkan sumbangan tersebut kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil.

Seramai 30 asnaf juga terpilih turut menerima wang sumbangan bernilai RM700 beserta kit makanan daripada FGV Holdings Berhad pada majlis berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1051
Kongsi :
Previous post Cruise Paya Lebar beroperasi Disember ini
Next post MPP UTeM rangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan ikut kesesuaian IPT
Ubah saiz-+=