Sorting by

×

MPP UTeM rangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan ikut kesesuaian IPT

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 5 September – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk merangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) mengikut kesesuaian institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan MPP UTeM, pihaknya bersejutu dengan kenyataan dikeluarkan kementerian itu dan akan merangka garis panduan mengikut kesesuaian IPT berkenaan.

Katanya, penglibatan MPP itu akan mewakili suara dan keperluan mahasiswa malah setiap maklum balas yang disuarakan adalah penting serta diambil kira sebelum garis panduan itu diguna pakai secara rasmi di peringkat universiti.

“Dalam menghasilkan garis panduan itu, MPP UTeM akan melibatkan wakil persatuan pelajar dan pihak berkepentingan dalam mengendalikan aktiviti hiburan di kampus.

“MPP UTeM turut bekerjasama dan mendapatkan bimbingan daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTeM,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, dengan sokongan dan komitmen semua pihak, garis panduan yang dirangka itu akan dapat direalisasikan dengan komprehensif demi manfaat bersama.

Terdahulu, media melaporkan KPT menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap IPT dalam menentukan garis panduan bagi penganjuran sebarang aktiviti hiburan yang ingin diadakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, pihaknya lebih cenderung kepada isu pemerkasaan mahasiswa dan memberi bayangan bahawa KPT tidak akan menyediakan sebarang garis panduan tertentu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1103
Kongsi :
Previous post FGV Holdings Berhad serah zakat perniagaan RM200,000 kepada MAIM
Next post RM25 juta dana zakat diagih kepada 8,277 asnaf Melaka
Ubah saiz-+=