RM25 juta dana zakat diagih kepada 8,277 asnaf Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 5 September – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah mengagihkan Bantuan Dana Zakat bernilai RM25 juta kepada seluruh asnaf di negeri ini bagi tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, MAIM menerusi Seksyen Agihan Zakat MAIM telah mengagihkan bantuan tersebut kepada kira-kira 8,277 asnaf fakir dan miskin di seluruh daerah dalam Negeri Melaka.

Kata beliau, agihan dana zakat itu diserahkan menerusi pelbagai skim dan program agihan bantuan yang dilaksanakan pihak Zakat Melaka dan MAIM.

Menurut Ab Rauf, antara penyumbang terbesar dana zakat bagi tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini adalah zakat pendapatan iaitu sebanyak RM48.04 juta yang mana ia menunjukkan peningkatan berbanding RM42.2 juta tahun lalu.

“Zakat Perniagaan pula merupakan penyumbang kedua terbesar iaitu sejumlah RM18.36 juta diikuti Zakat Wang Simpanan sejumlah RM15.23 juta.

“Peningkatan kutipan zakat ini adalah hasil usaha pihak Zakat Melaka menambah baik perkhidmatan, mempromosikan kempen dan dakwah zakat secara berterusan.

“Langkah itu demi meningkatkan keyakinan masyarakat serta syarikat-syarikat korporat untuk melaksanakan pembayaran zakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV 2023 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor dan kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3703
Kongsi :
Previous post MPP UTeM rangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan ikut kesesuaian IPT
Next post Restoran terapung bakal dibina di Paya Lebar
Ubah saiz-+=