Sorting by

×

Restoran terapung bakal dibina di Paya Lebar

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER LIMAU 6 September – Sebuah restoran terapung dicadang dibangunkan berdekatan Taman Lokan, di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan restoran terapung berdekatan pusat pemuliharaan lokan itu diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke kawasan terbabit.

Menurutnya, restoran terapung berkenaan akan dibina dengan kapasiti yang boleh memuatkan seramai 100 orang.

“Saya yakin, dengan adanya projek ini, ia memberi wajah baharu dan menaikkan nama Kampung Paya Lebar, bahkan nama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sebagai satu lokasi ekopelancongan baharu di Negeri Melaka.

“Selain itu, dengan wujudnya pembangunan di sini, ia dapat menjana pendapatan kepada penduduk tempatan serta membantu mengaktifkan aktiviti pelancongan di kawasan
ini,” katanya.

photo_2023-09-05_17-30-03
Pemandangan Taman Lokan ketika Lawatan Kerja Ke Eko-Pelancongan Sungai Linggi. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian ketika berucap Program Lawatan Kerja Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri Melaka Ke Ekopelancongan Sungai Linggi di Pusat Ekopelancongan Paya Lebar, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr Saifuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Datuk Tpr Murad Husin serta tetamu lain.

Terdahulu, dalam siri lawatan itu bermula di Taman Eko-Rimba dan Hutan Paya Laut Linggi, Kuala Linggi sebelum kumpulan delegasi itu menaiki bot bermula dari Jeti Markas Tektikal Polis Marin Kuala Linggi.

Kira-kira 15 bot digunakan bagi membawa kira-kira 60 delegasi Kerajaan Negeri termasuk ketua jabatan dari pelbagai agensi menyertai kunjungan lawatan kerja sepanjang hampir lebih lima kilometer itu.

Sebanyak enam destinasi perhentian telah dilawati antaranya, Sangkar Ikan Pertubuhan Sangkar Emas Kuala Linggi (Sekali), Kota Simpang, Taman Lokan, Restoran RnR Sungai Rembau, Sabak Arang dan diakhiri di Pusat Eko Pelancongan Paya Lebar.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, tarikan industri pembuatan kayu arang tradisional yang menjadi produk pelancongan di kawasan itu dirancang bakal menjadi sebagai pengeluar arang terbesar di selatan tanah air.

Katanya, industri yang beroperasi lebih 105 tahun itu berjaya mengeluarkan arang kayu bakau yang berkualiti dan mampu menempa nama pasaran luar negara.

“Arang ini dibuat menggunakan kaedah tradisional jadi perkara ini kita nak lihat supaya ilmu yang dimiliki pemiliknya ini dapat diwarisi oleh anak muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1435
Kongsi :
Previous post RM25 juta dana zakat diagih kepada 8,277 asnaf Melaka
Next post Guna saluran yang betul bantu masalah komuniti
Ubah saiz-+=