Gaduh di Stadium Hang Tuah: Melaka FA, Sri Pahang FC sudah berdamai

Masa Membaca:55 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Mei – Insiden pergaduhan yang mencemari aksi Piala Belia 2024 di antara Melaka FA dan Sri Pahang FC selesai selepas kedua-dua pihak berdamai.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, kejadian itu berlaku pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Tuah, 12 Mei lalu, sebelum rakaman berdurasi 44 saat memaparkan pergaduhan itu tular di media sosial.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati insiden tersebut berlaku akibat perselisihan faham serta rasa tidak puas hati membabitkan pemain daripada kedua-dua pasukan.

Susulan itu, ujarnya, pihak polis telah memanggil Persatuan Bolasepak Melaka dan Pengurus Pasukan bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut bagaimanapun telah berdamai dan bersetuju untuk menyelesaikan masalah di peringkat dalaman persatuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainol berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung insiden tersebut.

“Pihak polis menasihati semua pihak yang terlibat dalam perlawanan selepas ini agar memastikan insiden sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Tuah itu, Melaka FA tewas tipis 1-2 di tangan Sri Pahang FC.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post Rezeki jual hadiah Hari Guru serendah RM1
Next post Kejadian pertama buaya serang kambing – Perhilitan Melaka
Ubah saiz-+=