Rezeki jual hadiah Hari Guru serendah RM1

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER LIMAU 16 Mei – Berbekalkan ilmu gubahan yang dipelajari sendiri daripada aplikasi TikTok dan Youtube nyata memberi pulangan buat seorang bekas kerani menjana pendapatan tambahan buat keluarga.

Umi Nazirah Ahmad Yusof, 36, berkata, walaupun dianggap ‘orang baharu’ bidang seni gubahan hadiah dan cenderahati, namun dia tidak menyangka perniagaan yang diusahakan itu mendapat sambutan hebat pada Hari Guru tahun ini.

Jelas anak sulung dari tiga beradik itu, tempahan itu mula diterima sejak awal bulan ini dan ia terus meningkat apabila menghampiri tanggal 16 Mei.

Menurutnya lagi, antara hadiah dan cenderahati yang dijual ialah berbentuk jambangan bunga, hamper, kotak cenderahati serta pelbagai lagi dengan harga serendah RM1 hingga RM30.

“Ini kali pertama saya menawarkan perkhidmatan ini sempena Hari Guru dan bersyukur apabila kami menerima banyak permintaan untuk menghasilkan pelbagai jenis gubahan hadiah.

“Sejujurnya, seni ini saya hanya pelajari di internet dan berpandukan idea dan kreativiti sendiri saya mula berani mempromosikan produk yang dihasilkan secara dalam talian sehinggalah menerima maklum balas positif daripada orang ramai.

“Rata-rata mereka menyifatkan gubahan yang saya hasilkan menarik, murah dan eksklusif yang mana ia menjadi pembakar semangat untuk saya lebih berjaya,” katanya kepada Melaka Hari Ini di premis jualannya di Taman Seri Aman, di sini.

Photo1715757420
TIGA beradik sibuk menyiapkan tempahan gubahan hadiah atau cenderahati di kedai mereka di Taman Seri Aman. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Umi Nazirah yang merupakan graduan Juruteknologi Makmal Perubatan menceritakan, perniagaan itu bermula selepas dia diberhentikan kerja ketika pandemik COVID-19 melanda negara, tiga tahun lalu.

Walaupun ketika itu dia merasakan dunianya gelap seketika, namun demi suami dan anak-anak, dia bangkit untuk mencari peluang baharu dalam membantu keluarganya menambah pendapatan sampingan.

“Berbekalkan modal daripada pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saya mula mengembangkan perniagaan ini dengan tekad dan tawakal sehinggalah mampu menyewa sebuah kedai.

“Sehingga kini, saya telah menerima lebih 1,000 permintaan untuk menghasilkan gubahan hadiah daripada pelanggan seluruh Negeri Melaka dan juga negeri-negeri sekitar seperti Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini perniagaan itu hanya diusahakan seorang diri, namun kini, dia turut dibantu dua lagi adiknya iaitu Rusydi, 30 dan Zarifah, 24.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post MPHTJ ambil langkah proaktif cantas, tebang pokok berisiko
Next post Gaduh di Stadium Hang Tuah: Melaka FA, Sri Pahang FC sudah berdamai
Ubah saiz-+=