Kejadian pertama buaya serang kambing – Perhilitan Melaka
KLEBANG 16 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Melaka mengesahkan kejadian kambing ternakan dibaham buaya di Kampung Tengah, Pulau Gadong, di sini.
Pengarahnya, Petra Sulai berkata, pihak Perhilitan telah membuat siasatan di lokasi kejadian dan mendapati kejadian berlaku di habitat buaya memandangkan di sepanjang sungai telah terdapat papan tanda habitat buaya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 14 Mei lalu (kelmarin) yang mana kambing berkenaan sedang berada di tepi sungai sebelum seekor buaya dipercayai buaya tembaga telah menyerang dan membaham kambing berkenaan sebelum melarikan diri ke hulu sungai.
Ujarnya, kejadian spesies reptilia membaham haiwan ternakan itu bagaimanapun merupakan yang pertama kali berlaku.
“Mengikut Rekod Aduan Konflik Hidupan Liar, Pejabat Perhilitan Melaka, sering menerima aduan mengenai kemunculan Buaya dikawasan ini pada tahun 2020, 2022, 2023 dan 2024.
“Namun begitu, tiada kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang buaya di Negeri Melaka,” katanya.
Petra memaklumkan, Jabatan Perhilitan bagaimanapun akan menjalankan rondaan berkala dan mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan tersebut.
Pada masa sama, katanya, pihak jabatan juga akan memasang perangkap buaya di lokasi kejadian.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.
Semalam, tular rakaman video berdurasi 55 minit di platform media sosial menunjukkan kelibat sang bedal membaham kambing yang dipercayai sedang meragut rumput di Pulau Gadong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.