Gagal hadir janji temu suntikan vaksin boleh dikenakan tindakan

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Mereka yang gagal hadir janji temu untuk mengambil suntikan vaksinasi COVID-19 tanpa alasan munasabah, boleh dikenakan tindakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ini bagi mengelak berlakunya pembaziran memandangkan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang dicairkan, tidak boleh disimpan untuk penggunaan pada hari lain ekoran jangka hayatnya tidak lebih enam jam.

“Kalau hari pembedahan pun, 15 peratus kes tidak hadir ketika pembedahan. Ketidakhadiran, termasuklah untuk pengambilan vaksin yang dijadualkan itu adalah ‘waste of resources and manpower’ (pembaziran sumber dan tenaga kerja) sebab kita dah siapkan semua.

“Tindakan boleh diambil kalau tidak hadir. Seperti mana di negara lain kalau mereka ‘cut queue’ (memotong giliran) untuk dapatkan vaksin (juga) boleh didenda. Buat masa ini kita belum fikirkan apa jenis tindakan. Kita belum tahu lagi tetapi sesuatu boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Libat Urus Bersama Media secara maya hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.

Katanya, mereka yang tidak dapat hadir pada janji temu, terutamanya bagi dos kedua, seharusnya memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari awal agar penjadualan tarikh baharu dapat dilakukan.

“Kalau batalkan di saat-saat akhir, kita kena cari jalan supaya vaksin itu tidak terbuang sebegitu, mungkin perlu ada ‘waiting list’ jadi kita boleh beri pada orang lain. Daripada dibuang, kita mungkin boleh beri pada petugas ‘frontliner’ yang belum lagi berkesempatan mengambil vaksin, termasuklah petugas perubatan kita,” katanya sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar menghargai dan tidak membazir vaksin.

Dr Noor Hisham berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengkomersilkan vaksin COVID-19 di negara ini dengan membenarkan syarikat swasta menjual vaksin berkenaan.

Katanya tidak ada mana-mana syarikat yang diberi lesen untuk menjualnya, malah Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri membekalkan vaksin itu kepada semua hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberikan kepada rakyat secara percuma.

“Syarikat vaksin menjual secara ‘direct’ kepada kerajaan dan bukannya syarikat… kita tidak akan benarkan pengkomersilannya, kerana kalau tidak mereka yang kaya akan mendapat vaksin dahulu dan rakyat yang lain perlu menunggu,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata aplikasi MySejahtera adalah satu-satunya aplikasi rasmi kerajaan yang digunakan untuk pendaftaran vaksin.

Melalui aplikasi itu juga, beliau berkata orang ramai boleh memaklumkan sekiranya mempunyai gejala atau kesan sampingan selepas menerima suntikan.

Dr Noor Hisham berkata beliau juga melihat kepada keperluan mewujudkan ‘dashboard’ di aplikasi itu untuk memaparkan jumlah terkini mereka yang mengambil suntikan.

“Sekarang ni data-data kita diselenggara dengan baik dan semua menggunakan MySejahtera… aplikasi ini secara rasmi mengutip data dan kita boleh menggunakan data ini dalam dashboard untuk dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr A. Maheshwara Rao yang turut menyertai libat urus tersebut berkata, setakat ini lebih sejuta orang telah mendaftar di MySejahtera untuk mendapatkan vaksin dan kementerian mensasarkan hampir 300,000 pendaftaran sehari.

Menurutnya, fungsi ‘tambah tanggungan’ (eng: add dependent) di aplikasi itu dijangka dikeluarkan di MySejahtera pada minggu kedua Mac yang membolehkan pengguna mendaftarkan ahli keluarga terutama ibu bapa mereka yang tua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post Nak pinjam RM200,000 doktor rugi RM72,000
Next post 2,253 kes baharu dicatat dengan 11 kematian hari ini
Ubah saiz-+=