
GALERI JUALAN MTD PROPERTIES BERWAJAH BAHARU
AYER KEROH 24 Julai – MTD Properties memperkukuh kedudukan sebagai pemaju utama dalam kawasan Ayer Keroh menerusi perasmian Galeri Jualan MTD Properties yang kini berwajah baharu di Taman Tasek Utama, di sini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MTD, Dr. Nik Fauzan Nik Faizul berkata, pejabat jualan itu kini dinaik taraf dengan konsep moden kontemporari berteknologi hijau yang memberi isyarat MTD Properties akan tampil proaktif.
Jelas beliau, ia juga sebagai simbolik kepada komitmen untuk terus aktif membangunkan pelbagai inisiatif pembangunan hartanah di Melaka.
Katanya, pada tahun lalu MTD Properties telah melancarkan satu projek dan tahun ini terdapat dua lagi projek telah diperkenalkan seterusnya ia adalah tanda komitmen untuk terus kekal aktif di kawasan Taman Tasek Utama, Ayer Keroh.
“Galeri jualan berwajah baharu ini adalah tanda projek pembaharuan akan dibangunkan untuk fasa baharu.
“Sehingga kini, lebih 90 peratus kawasan Taman Tasek Utama telah dibangunkan dengan pelbagai fasiliti dan prasarana yang meningkatkan taraf hidup penduduk serta masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Jualan MTD Properties Sempena Kerjasama Strategik Bersama Kerajaan Negeri Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Tasek Utama, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTD Datuk Nik Faizul Nik Hussain.
Pada majlis perasmian tersebut, Ab Rauf turut menandatangani plak perasmian dan memotong riben sebagai acara gimik perasmian galeri jualan MTD Properties yang berwajah baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.