Genting Hong Kong muflis: Bank-bank Malaysia kekal berdaya tahan harungi cabaran operasi

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Kementerian Kewangan mahu menegaskan bahawa sektor perbankan secara keseluruhan termasuk bank-bank yang terlibat dengan isu hutang tidak bercagar Genting Hong Kong Ltd kekal berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai cabaran operasi perniagaan semasa.⠀

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata isu pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan dan isu pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali.

Beliau menegaskan bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman, penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.

“Tambahan pula dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik COVID- 19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat yang terlibat dalam sektor libur termasuk pelancongan.

“Tapi apabila COVID melanda banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk menjelaskan isu tiga bank tempatan yang dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa bukan bank tempatan sahaja yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong malah ia turut melibatkan bank-bank dari luar negara.

Beliau berkata semua bank-bank tersebut juga harus mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.

“Adakah Datuk Seri ingin memberi gambaran bahawa semua bank-bank dari luar negara ini juga telah bertindak semberono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?” soalnya.

Tengku Zafrul turut menolak dakwaan mengenai pembabitan beliau sebagai Menteri Kewangan serta pemegang-pemegang saham bank-bank tersebut seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd dalam proses kelulusan pinjaman tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan untuk memberi pinjaman bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan atau pemegang saham tetapi oleh bank-bank itu sendiri melalui proses usaha wajar dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.

⠀”Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, beliau berkata sektor perbankan sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding tahun 1998 iaitu semasa Krisis Kewangan Asia dimana nisbah pinjaman tak berbayar pada Disember 1998 melonjak ke 18.6 peratus dan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) adalah pada 55.9 peratus.

“Bagi setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.

“Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4 peratus termasuk peruntukan nisbah pinjaman tidak berbayar separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.

“LLC kekal kukuh pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus pada 1998. Justeru, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran,” kata Tengku Zafrul. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post 70 graduan UTMSpace terima sijil profesional
Next post ‘Wartawan cilik’ tular dapat komputer tablet
Ubah saiz-+=