Gerakan koperasi antara langkah hapus orang tengah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 7 Ogos – Bagi memerangi peranan orang tengah yang menjadi antara faktor berlakunya inflasi dan kenaikan harga barangan, beberapa strategi kini sedang dirangka kerajaan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata, antara strategi itu adalah menggerakkan pertubuhan koperasi bagi memutuskan rantaian orang tengah antara pengeluar dan peruncit.

Beliau berkata, kaedah menggunakan koperasi juga akan memotong sesetengah rantaian dimainkan orang tengah yang tidak diperlukan.

“Ini kerana ada kaedah terus daripada producer packers seperti yang diberikan kepada koperasi, mereka dibenarkan import gula dan membuat pembungkusan kepada paket kecil.

“Dan dari situ mereka boleh terus mengedar sebagai pemborong melalui rangkaian kedai koperasi dan mereka juga memberi jaminan harga lebih rendah antara 25 hingga 30 peratus berbanding sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di sebuah pasaraya di Duyong, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut beliau, beberapa rantaian barangan makanan kini sedang dipantau antaranya pengeluar dan peruncit yang ada membabitkan peranan orang tengah.

“Ada dikenal pasti beberapa rantaian yang dimanipulasi orang tengah hingga berlakunya kenaikan harga melampau.

“Dengan kaedah yang akan dilaksanakan nanti , peranan orang tengah yang membuat keuntungan berlebihan akan dihapuskan,” katanya.

Namun begitu, Annuar berkata, beliau tidak menafikan terdapat juga orang tengah antara pengeluar dan peruncit yang bersikap bertanggungjawab dengan mengambil keuntungan munasabah.

Beliau mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agar usaha jihad memerangi orang tengah dapat dijalankan kembali seperti dilaksanakan lapan tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1022
Kongsi :
Previous post Kali pertama lalui detik duka dilanda banjir
Next post Pupuk semangat juang bak pahlawan
Ubah saiz-+=