‘Gerbang Rezeki’ cikgu sekolah bantu golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER MOLEK 13 Jun – Bukan sekadar mencurahkan ilmu kepada anak murid, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, tekad berkongsi rezeki dengan menyalurkan sumbangan kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menariknya, Fazelina Mat Lui, 49, berkongsi rezeki itu dengan memperuntukkan wangnya sendiri untuk membeli sedikit barangan keperluan harian menerusi usaha dinamakan ‘gerbang rezeki’.

GERBANG rezeki bantu golongan memerlukan

“Kami nak berkongsi rezeki dengan orang lain, ini adalah kali kedua kami buat untuk penduduk sekitar dan yang memerlukan.

“Ini sumbangan peribadi, sekiranya dapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) mungkin lebih besar sumbangan yang diberikan.

“Antara penerima sumbangan ini, mereka yang tidak dapat bantuan dari mana-mana pihak dan mereka golongan yang benar-benar terkesan pada waktu ini,” katanya.

Menurut Fazelina, fokusnya adalah untuk memberi bantuan kepada ibu bapa anak-anak muridnya tanpa mengharapkan balasan.

“Saya kongsi dalam ‘group WhatsApp’ sekolah, jadi kita beritahu mereka datang sini dan bayarannya adalah kejujuran sahaja.

“Alhamdulillah hari ini kita agihkan sebanyak 46 pek makanan yang mana terdapat minyak masak, susu, milo, tepung, beras dan telur,” katanya lagi.

FAZELINA bertanyakan sesuatu kepada penerima sumbangan.

Katanya sudah menjadi rutinnya untuk menyampaikan sumbangan dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“Kami dah mula aktiviti lama dah, kalau bulan Ramadan wajib kami sedekah makanan, tapi untuk barang keperluan asas ini adalah kali kedua.

“Pada awalnya saya dan Shahnorsahedah Dol Sani, 37, (kawan) bergerak dari rumah ke rumah, tapi bila Perintah Kawalan Pergerakan kita hentikan dan buka meja di sini (depan rumah).

“Peruntukan setiap minggu kira-kira RM500 dan kami harapkan ia bertambah bila ada yang menyalurkan peruntukan,” katanya lagi.

SHAHNORSAHEDAH menyusun barang-barang yang akan disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Ujarnya turut menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan menerusi Facebook dengan meletakkan nama ‘Dapur Jerantut’.

“Saya akan kongsi maklumat dekat Facebook ‘Dapur Jerantut’ mengenai rezeki yang akan saya kongsi, melalui itu orang ramai akan tahu dan datang ke sini untuk ambil rezeki.

“Hasil keuntungan niaga saya akan ambil 50 peratus untuk salurkan dana buat ‘gerbang rezeki’ ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

603
Kongsi :
Previous post 1,331,262 individu lengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam
Next post Cawangan KWSP di seluruh negara kekal ditutup sehingga 28 Jun 2021
Ubah saiz-+=