Gesa majikan wajib daftar, carum pekerja

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER LIMAU, 9 Julai – Setiap majikan yang menggajikan pekerja termasuk pekerja asing diwajibkan membuat pendaftaran dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membela nasib mereka apabila berlaku kemalangan dan bencana di lokasi pekerjaan.

Pengarah PERKESO Melaka, Abd. Razak Omar berkata, pihaknya menggesa mana-mana majikan di setiap sektor terutama pertanian, perladangan, pembinaan, gunting rambut, peruncitan dan kedai makan yang menggaji pekerja asing diwajibkan berdaftar dengan agensi itu.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama majikan bagi mendaftar pekerja termasuk pekerja asing dan tiada alasan perlu diletakkan kerana perkadaran yang diberikan kepada majikan adalah terlalu rendah untuk menjelaskan caruman.

“Saya ingatkan mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Seksyen 94 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

“Malah, jika berlaku kemalangan ada juga majikan yang tidak melaporkan kepada kami dan perkara ini diingatkan jika berlaku kemalangan dan bencana di tempat kerja pekerja boleh terus melaporkan kepada PERKESO agar kami mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

ABD. Razak

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pembayaran permulaan Orang Tanggungan (OT) di sebuah rumah mangsa kemalangan jalan raya di Taman Wira Indah, Lubok China semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Dalam pada itu, menurutnya sebanyak 43 kompaun dan enam pendakwaan telah dikeluarkan mengikut dua Seksyen di bawah AKSP 1969 berjumlah RM25,500 direkodkan pada tahun ini berdasarkan Ops Kesan yang dijalankan pihaknya.

“Berbanding tahun lalu, sebanyak 64 kompaun dan 46 pendakwaan telah dikeluarkan mengikut dua Seksyen sama pada akta terbabit.

“Setakat ini seramai 365,616 pekerja telah berdaftar dan direkodkan di Melaka sehingga penghujung Jun tahun ini.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 312,257 pekerja tempatan dan 54,675 pekerja asing telah didaftarkan termasuk 40,028 majikan,” katanya.

Views:

292
Kongsi :
Previous post PM mahu pendidikan rukun negara dijadikan agenda teras kerajaan
Next post Jabatan Perikanan perlu carumkan nelayan
Ubah saiz-+=