GLC, GLIC perlu fokus usaha terhadap Keluarga Malaysia, perniagaan dan ekonomi pada 2022

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Usaha Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) tahun ini perlu berdasarkan tiga fokus utama yang digariskan dalam Bajet 2022 iaitu Keluarga Malaysia, perniagaan dan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pemulihan ekonomi perlu diberi perhatian oleh GLC dan GLIC supaya kembali mampan dan merapatkan semula jurang ekonomi menerusi pemerkasaan komuniti, projek berteraskan konsep lestari, projek pembangunan untuk pemulihan serta projek ketersambungan digital.

“Kerajaan juga telah memulakan projek-projek tertentu seperti mewujudkan satu ekosistem bersepadu bagi meneroka industri-industri yang berteraskan digital, serta teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan 5G.

“InsyaAllah, dengan semangat usaha sama di antara kerajaan, GLC/GLIC dan pihak swasta serta badan bukan kerajaan, saya yakin kita mampu menangani impak pandemik dan membina semula sebuah negara yang lebih makmur untuk kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu wawancara sempena Hari Terbuka GLC 2022.

Hari Terbuka GLC 2022 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini menyaksikan penyertaan 25 buah GLIC/GLC.

Perdana Menteri berkata fokus kedua GLC dan GLIC ialah mengembalikan keupayaan dan daya saing perniagaan menerusi pelbagai inisiatif seperti pembiayaan perniagaan serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui ekosistem GLC dan GLIC, termasuk peniaga dan syarikat Bumiputera.

Jelasnya, ini termasuk inisiatif Jalinan GLC: Memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bernilai RM5 bilion bagi membantu usahawan PMKS.

“Dengan sempadan negara yang akan dibuka pada 1 April, 2022, saya yakin ia akan merancakkan ekonomi, sekali gus membantu bukan sahaja GLC dan GLIC tetapi juga syarikat berkaitannya berkembang,” tambah beliau.

Menurut Ismail Sabri, Bajet 2022 juga mengunjurkan pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM30 bilion oleh syarikat GLC dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, serta pemodenan rangkaian bekalan atau infrastruktur 5G.

“Ini bakal merancakkan PKS yang berkecimpung di dalam bidang ini,” katanya.

Beliau berkata menerusi usaha ini, kerajaan juga mengutamakan pemerkasaan Bumiputera dengan Bajet 2022 jelas menekankan bahawa 40 peratus perolehan tempatan melalui GLC/GLIC perlu dikhususkan untuk usahawan Bumiputera.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata GLC dan GLIC perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memulih kehidupan Keluarga Malaysia secara menyeluruh, merangkumi mata pencarian, pekerjaan dan penambahbaikan kesihatan awam.

“Melalui penampilan baharu GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), GLC dan GLIC akan menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan juga kesihatan awam, terutamanya bagi golongan tumpuan dan yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri berkata secara keseluruhan GLC dan GLIC telah menggaji kira-kira 500,000 tenaga kerja negara dan secara tidak langsung menyokong berjuta tenaga kerja melalui ekosistemnya yang merangkumi pelbagai syarikat swasta, daripada yang bersaiz kecil, sederhana dan besar.

Beliau berkata pada 2021, Malaysian Short-Term Employment Programme (MySTEP) telah berjaya menempatkan 21,541 termasuk siswazah di GLC dan GLIC berbanding sasaran sebanyak 15,000.

“Pada tahun ini, MySTEP menyasarkan penempatan sebanyak 30,000 pekerjaan di GLC/GLIC.

“Ini akan menyumbang kepada sasaran keseluruhan kerajaan untuk mencipta 600,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia, yang juga akan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara ke tahap kurang daripada empat peratus menjelang hujung tahun ini,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

777
Kongsi :
Previous post Adakan PRU jika BN sudah sedia, dapat sokongan majoriti rakyat – Annuar
Next post Kemenangan BN tanda rakyat mahukan kerajaan negeri stabil dan makmur
Ubah saiz-+=