Kemenangan BN tanda rakyat mahukan kerajaan negeri stabil dan makmur

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam satu terjemahan rakyat yang mahukan kerajaan negeri stabil dan makmur.

Katanya, BN yang membawa tema ‘Kestabilan Masa Depan’ dalam PRN itu telah menarik kepercayaan rakyat untuk membuat pilihan tepat demi kestabilan di negeri itu.

“Kemenangan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi DUN adalah terjemahan kemahuan rakyat Negeri Johor yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang benar-benar stabil dan makmur.

“Syabas dan tahniah kepada bangsa Johor kerana telah memberikan kepercayaan kepada BN dalam tema yang dibawakan dan saya yakin rakyat Johor telah membuat pilihan yang tepat.

“Kepada pentadbiran kerajaan negeri Johor yang baharu saya mengucapkan selamat menjalankan tugas dengan penuh seperti mana dalam aku janji dalam manifesto PRN yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya disiarkan dalam Facebook rasminya, sebentar tadi.

Pada masa sama, Sulaiman turut menyampaikan penghargaannya kepada barisan jentera parti BN yang turut bertungkus lumus terlibat dalam kempen pilihan raya yang membuatkan parti itu mencapai kejayaan dalam PRN semalam.

“Saya mengucapkan setinggi-setinggi tahniah kepada Menteri Besar Johor, Ir Datuk Seri Hasni Mohammad dan semua barisan kepemimpinan UMNO – BN Johor di atas kejayaan memenangi pilihan raya itu.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO merangkap Pengarah PRN Johor, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan semua kepemimpinan tertinggi BN di atas bantuan dan sokongan hingga membawa kepada kemenangan BN di Johor.

“Sebagaimana kejayaan pada pilihan raya yang dikecapi di Negeri Melaka, Inilah “Kestabilan Masa Depan” yang terbaik untuk rakyat negeri Johor!,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

Pengumuman itu sekali gus mengesahkan kedudukan kerajaan BN untuk membentuk kerajaan negeri Johor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

963
Kongsi :
Previous post GLC, GLIC perlu fokus usaha terhadap Keluarga Malaysia, perniagaan dan ekonomi pada 2022
Next post PRN Johor: BN raih 43.11 peratus undi popular, PN atasi PH
Ubah saiz-+=