Gotong-royong bersihkan kawasan perkuburan tanggungjawab bersama

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PERINGGIT 15 Jan – Lebih 100 individu termasuk pelajar dan penduduk kampung mencurah keringat bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Peringgit, hari ini.

Walaupun, perlu berjemur dibawah terik matahari namun itu langsung tidak menjadi alasan untuk mereka membersihkan tanah perkuburan dianggarkan lebih dua hektar itu.

ADUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil agensi yang menyertai gotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Peringgit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin berkata, usaha dilakukan pihaknya itu turut dibantu beberapa agensi lain termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila kehadiran dalam kalangan pelajar antaranya dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Antarabangsa Sains & Teknologi Melaka (MICOST) amat memberangsangkan.

“Gotong-royong hari ini adalah fasa kedua dilakukan selepas yang pertama pada minggu lalu dan ramai yang hadir turut serta membersihkan tanah perkuburan ini.

“Saya terpanggil untuk membersihkan kawasan perkuburan ini bukan sahaja atas rasa tanggungjawab malah untuk memberikan imej dan pemandangan yang baik,” katanya.

ADUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin turun padang membersihkan Tanah Perkuburan Peringgit di sini.

Beliau yang juga Exco Wanita berkata, dia berharap agar usaha murninya itu tidak disalah ertikan sebaliknya untuk menjaga kebersihan dan memberi suasana selesa kepada ahli keluarga yang datang menziarah.

Sementara itu, bagi pelajar Kolej MICOST Sarjudin Zaini Yee, 19, berkata, aktiviti gotong royong ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat malah mendidik sikap tanggungjawab dalam diri khususnya buat golongan belia.

“Mungkin ada yang tidak gemar untuk melakukan aktiviti sebegini namun ia menyeronokkan kerana kita dapat bergaul dengan ramai orang.

“Malah apabila datang dan membersihkan kubur membuatkan kita terfikir jauh ke hadapan kerana kita juga akan ke sini nanti,” katanya.

Menurut anak kelahiran Sarawak itu, melakukan aktiviti gotong royong adalah salah satu caranya untuk menolong dan membantu masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2414
Kongsi :
Previous post Pihak berkuasa tempatan di Melaka bakal berwajah baharu
Next post Jangan naikkan harga asam pedas – KM
Ubah saiz-+=