Jangan naikkan harga asam pedas – KM
LENDU 15 Jan – Peniaga-peniaga makanan terutamanya makanan ikonik Melaka seperti asam pedas dinasihatkan agar tidak menaikkan harga secara drastik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kenaikan harga beberapa barang mentah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menekan harga kepada orang ramai khususnya pelancong yang datang ke negeri ini.
“Kalau boleh janganlah naikkan harga terlalu tinggi. Kita faham ada beberapa barang mentah alami kenaikan harga.
“Tetapi ia bukan berterusan kerana ada di antaranya dikawal dari sudut harga oleh KPDNHEP, jadi saya harap turunkanlah harga sedikit.
“Saya yakin kalau harga turun atau dikekalkan dan ‘volume’ nya banyak, orang ramai pasti akan datang, tambah-tambah bila pintu sempadan negeri telah dibuka dan pelancong akan sentiasa datang ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.
Mengulas mengenai penganjuran PJKM, Sulaiman berkata, ia merupakan antara inisiatif terbaik kerajaan dalam meringankan beban ditanggung orang ramai susulan kenaikan harga barang.
Katanya, dalam jualan istimewa itu, kebanyakan barang dijual dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Seperti contoh harga ayam di sini dijual pada harga RM7.30 sekilogram berbanding lebih RM9 sekilogram yang dijual di pasar-pasar.
“Rata-rata pengunjung juga sangat berpuas hati kerana dapat membeli pada harga yang murah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.