Diupah RM5,400 dua lelaki bawa 18 pendatang tanpa izin ke Johor

PASIR MAS, 15 Jan – Dua lelaki tempatan mengaku menerima upah sebanyak RM5,400 bagi membawa 18 orang pendatang tanpa izin warga Myanmar dari sempadan Thailand sehingga ke Johor Bharu, dengan kadar RM300 bagi setiap seorang.

Pengakuan itu dibuat hasil soal siasat awal selepas kedua-dua kenderaan dipandu mereka ditahan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di hadapan sebuah sekolah di sini, jam 1 tengah hari semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dua lelaki tempatan berusia 27 dan 34 tahun itu, disyaki sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan migran.

Beliau berkata ketika ditahan, sebuah kenderaan diisi seramai lapan manakala sebuah lagi 10 orang, dengan kesemuanya melibatkan 12 lelaki dan enam perempuan berusia antara 20 hingga 30-an.

“Hasil pemeriksaan dokumen yang dijalankan ke atas kesemua penumpang dua kenderaan jenis Hyundai Starex itu mendapati, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah termasuk dokumen pengenalan dan permit perjalanan.

“Hasil siasatan juga mendapati dua lelaki warga tempatan yang berasal dari Johor itu, bertindak sebagai ejen untuk menghantar pendatang tanpa izin warga Myanmar itu dari sempadan Malaysia-Thailand, dengan upah sebanyak RM300 setiap seorang yang dibawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya kesemua pendatang itu juga akan dihantar ke negeri selatan termasuk Johor dengan dijanjikan peluang pekerjaan.

Azhari berkata dalam kes ini pihaknya telah merampas dua kenderaan dan tiga telefon bimbit yang bernilai RM165,000 dan kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama, Azhari berkata sejak 16 Dis lalu hingga semalam PGA7 telah berjaya menahan seramai 61 orang pendatang haram melibatkan 21 orang warga Myanmar, Thailand (39) dan Indonesia (1).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

163
Previous post Jangan naikkan harga asam pedas – KM
Next post Kayuhan solo Khairil Aslan jelajah Semenanjung Malaysia