Kayuhan solo Khairil Aslan jelajah Semenanjung Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 15 Jan – Cuaca panas terik serta kering tidak menghalang seorang penggemar sukan lasak membuat kayuhan solo merentas negeri di Semenanjung Malaysia.

Khairil Aslan Ab Rasid 48 yang meminati sukan berbasikal sejak 30 tahun lalu menunggang basikal jenis Fatbike keluaran Maxtron bagi edisi kali ini.

Dia memulakan kayuhan dari Gombak, Selangor pada 13 Jan (kelmarin) kira-kira jam 1 tengah hari dan mengambil masa selama tujuh jam untuk selamat tiba di Melaka.

“Hari ini (Jumaat) merupakan hari kedua kayuhan saya, saya bermula dari Gombak Selangor, cabaran cukup tinggi hari pertama sebab panas yang melampau, keadaan cukup kering tiada awan dan angin kuat.

“Alhamdulillah kayuhan selama tujuh jam akhirnya saya selamat sampai di Bukit Katil, Melaka pada jam 8 malam.

“Hari ini hari ‘recovery’ di bumi Melaka untuk tengok apa yang ada di negeri ini sambil ditemani seramai 30 sahabat Fatbike Melaka Cycling Club (FMCC),” katanya ketika ditemui MHI.

KHAIRIL Aslan Ab Rasid, 48 ditemui ketika menjalankan ekspedisi siri kayuhan jelajah solo fatbike di Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ditanya mengapa memilih sukan berbasikal itu, Khairil Aslan berkata ia sebagai kayuhan pemanas badan tahun 2022 setelah lama berehat disebabkan pandemik COVID-19.

“Sebab kita dah rehat selama dua tahun tidak melakukan apa-apa aktiviti endurance (ketahanan), jadi ini melengkapkan saya punya training (latihan) untuk projek pendakian dunia pada 2023.

“Saya akan melakukan pendakian tiga puncak dunia setinggi 8,000 meter iaitu pendakian Everest, Makalu dan Lhotse.

“Tiga gunung ini saya akan buat ekspedisi pada 2023 Insya-Allah,” katanya.

Ujarnya lagi tahun 2022 adalah pembuka tirai buatnya melakukan kayuhan pertama menggunakan Fatbike mengelilingi Semenanjung Malaysia.

“Alhamdulillah bulan Januari ini pembuka bagi tahun baharu, saya dapat melakukan kayuhan pertama Fatbike mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2200 kilometer.

“Saya anggarkan kayuhan ini mengambil masa 35 hingga 40 hari untuk selesai semuanya kerana ini adalah kayuhan secara santai saja dengan muatan lebih 60 kilogram.

“Saya memang ‘full time adventurer’ (pengembara sepenuh masa), jadi saya lakukan setiap tahun satu aktiviti. Kalau saya tak daki gunung saya buat touring basikal, kita nak lihat keadaan seluruh Malaysia dan jumpa sahabat-sahabat” kata bapa kepada empat orang anak ini.

KHAIRIL Aslan Ab Rasid, 48     Foto Iqmal Haqim Rosman

Anak kelahiran Batu Kurau, Perak yang aktif dalam aktiviti lasak itu berkata kayuhan solo mengelilingi Malaysia dengan Fatbike merupakan projek sebelum pandemik bagi memperkenalkan basikal jenama Maxtron.

“Ini satu-satunya basikal bertayar besar dan pertama di dunia yang berjaya merentasi glasier ais di Chadar, India pada suhu -35 darjah Celcius.

“Basikal ini bernilai kira-kira RM20,000, dengan kayuhan ini saya dapat menunjukkan keisitimewaannya kepada seluruh Semenanjung Malaysia.

“Selepas berehat di Melaka ini, esok (hari ini) saya akan menyambung misi kayuhan ke Muar, Johor dan ekspedisi kayuhan solo dijangka berakhir di Putra Perdana Puchong, Selangor, ” katanya lagi.

Khairil Aslan pernah menawan tiga puncak Himalaya iaitu Puncak Maru, Lobuche dan Island dalam tempoh 32 hari pada 2015, dan turut mencipta rekod antara pendaki solo Asia yang melakukan ekspedisi di ketiga-tiga puncak tersebut pada musim sejuk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1573
Kongsi :
Previous post Diupah RM5,400 dua lelaki bawa 18 pendatang tanpa izin ke Johor
Next post Fokus segera bersihkan Bachang – Kalsom
Ubah saiz-+=