GPS lancar manifesto, ‘Janji Laksana 34 Inisiatif’

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUCHING, 8 Dis – Gabungan Parti Sarawak (GPS) malam ini melancarkan manifesto mengandungi 34 teras atau janji yang akan dilaksanakan gabungan berkenaan sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12, 18 Dis ini.

Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak ketika melancarkan manifesto itu memberi komitmen dan membulatkan tekad untuk terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

Beliau berkata 34 Manifesto GPS itu amat komprehensif, di samping memperjuangkan hak negeri, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

“GPS telah menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030,” kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam ucapannya di majlis pelancaran manifesto GPS di sini.

Manifesto berkenaan yang bertemakan “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak” kemudiannya diserahkan kepada setiap pemimpin tertinggi parti-parti komponen GPS iaitu Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

Abang Johari berkata pelbagai inisiatif telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju, dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan, dipacu oleh data dan inovasi.

Katanya keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat, jelas membuktikan bahawa parti itu mempunyai jentera pentadbiran yang mantap dan berhemah serta sistem tadbir urus kewangan yang baik, telus dan beramanah.

Antara ‘janji’ GPS dalam manifestonya termasuk menjamin kestabilan dan autonomi politik Sarawak serta mempertahan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-Undang Negeri Sarawak.

Selain itu, memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera; membantu dan mempercepatkan anak Sarawak yang layak mendapatkan kerakyatan; merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

GPS turut bertekad menjamin hak kesaksamaan yang inklusif untuk semua rakyat Sarawak; mengiktiraf dan menjamin hak rakyat ke atas tanah Native Customary Right (NCR) dan Native Territorial Domain (NTD) serta menjadikan Sarawak Maju dan Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030.

Pada PRN12 ini, GPS bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mengetengahkan 24 muka baharu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1664
Kongsi :
Previous post Angkara Macau Scam guru wanita rugi hampir RM200, 000
Next post Polis rampas dadah bernilai lebih RM10 juta, tahan 13 individu
Ubah saiz-+=