Angkara Macau Scam guru wanita rugi hampir RM200, 000

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 8 Dis – Seorang guru wanita kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans.

Wanita berusia 50 terbabit dikatakan dihubungi ejen insurans pada 10 Okt lalu mengatakan dirinya sudah empat kali membuat tuntutan berjumlah RM76, 800.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut sebelum dia disambungkan ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan individu yang kononnya SM Azman.

Beliau berkata, mangsa kemudian diberitahu terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram berkait dengan seorang lelaki membabitkan nilai RM2.8 juta.

“Selepas itu mangsa menerima beberapa lagi panggilan daripada beberapa pegawai polis selain diberitahu dia akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah.

“Menerusi beberapa panggilan itu mangsa diminta untuk membayar wang jaminan sebanyak RM568, 000,” katanya.

Menurut beliau, disebabkan tidak mempunyai wang mangsa kemudian membuat pinjaman daripada Bank Islam sebanyak RM300,000 dan RM80,888 lagi dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Pada 12 Nov lalu, seorang individu menggunakan nama Puan Yong menghubungi mangsa dan mengarahkannya menukarkan nombor telefon kad Bank Islam mengikut nombor diberikan suspek.

“Selain itu, suspek turut mengarahkan semua wang di dalam akaun BSN dipindahkan ke Bank Islam dan mangsa menuruti arahan suspek,” katanya.

Sundra Rajan berkata, mangsa sekali lagi dihubungi oleh suspek menggunakan nama sama dan meminta untuk membuat pinjaman Aeon Kredit.

“Mangsa yang curiga dengan panggilan itu membuat semakan menerusi akaun Bank Islam dan mendapati terdapat pengeluaran wang berjumlah RM199,111.61.

“Menyedari dirinya terpedaya mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Kronologi kes Najib melibatkan dana SRC International
Next post GPS lancar manifesto, ‘Janji Laksana 34 Inisiatif’
Ubah saiz-+=