Sorting by

×

‘HADIAH KHAS’ RM5,000 UNTUK SEKOLAH PALING CEMERLANG SPM

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ALOR GAJAH 24 Oktober – Sekolah paling cemerlang di Melaka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025 bakal menerima hadiah khas RM5,000 sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ganjaran itu akan diberikan kepada sekolah terbaik yang mencatat keputusan paling cemerlang bagi peperiksaan itu.

“Hanya sebuah sekolah cemerlang sahaja yang akan menerima hadiah khas ini daripada Kerajaan Negeri bagi menghargai kecemerlangan luar biasa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Bijak SPM 2025 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah Lendu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, program sentuhan kasih yang memasuki siri ketiga itu menjadi manifestasi kasih dan harapan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap pelajar mendapat sistem sokongan menyeluruh menjelang SPM.

“Pelbagai inisiatif digerakkan termasuk Inisiatif Bijak SPM dan Program Tuisyen Percuma bagi golongan B40, manakala program sentuhan kasih dilaksanakan sebagai lonjakan akhir sebelum calon melangkah ke dewan peperiksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post ‘FAST LANE ALOR GAJAH’ JADIKAN MPAG LEBIH BERDAYA SAING
Next post WRUR: PASTIKAN PENGANJURAN SETIAP EDISI BERI IMPAK KEPADA RAKYAT