Hadiah tahun baharu buat anak muda Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

RIM 12 November – Penantian rakyat terutama golongan belia di sekitar Kampung Chohong, di sini, untuk memiliki gelanggang futsal tertunai apabila kemudahan itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, gelanggang futsal itu antara janji yang ditawarkan kepada penduduk di sekitar kawasan itu untuk memiliki kemudahan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu.

Katanya, gelanggang futsal yang menelan kos RM154,000 itu adalah permulaan kepada pembangunan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk Kampung Chohong; Kampung Chenderah; Kampung Chabau; Kampung Chin Chin dan Simpang Bekoh.

“Insha-Allah kalau tiada aral, pembinaan gelanggang futsal ini akan siap dalam masa dua bulan, tahun hadapan kita beri hadiah tahun baharu Kerajaan Negeri kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Gelanggang Futsal Kampung Chohong di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah itu disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dengan melakukan gimik pelancaran menaiki jentolak.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, calon Barisan Nasional Parlimen Jasin Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, kawasan gelanggang futsal seluas 1.9 ekar itu tidak terhenti di situ apabila beliau dengan kerjasama MPJ mahu membangunkan kemudahan awam lain di lokasi sama.

“Potensi kawasan gelanggang futsal ini tidak terhenti di situ tetapi kami akan bangunkan kemudahan lain seperti dewan terbuka dan gerai perniagaan bagi membolehkan penduduk setempat menjana ekonomi.

“Keseluruhan kos bagi pembinaan gelanggang futsal dan kemudahan lain seperti dewan terbuka dan gerai perniagaan adalah anggaran sebanyak RM1.3 juta.

“Walaupun lokasi agak ‘outskirt’ (pinggir bandar) berada di luar bandar, saya tidak rasa penduduk di sini dinafikan haknya untuk akses kemudahan asas itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1914
Kongsi :
Previous post Dialog bersama rakyat dua bulan sekali – Shahril Hamdan
Next post PKNM dikenali MCorp tahun hadapan
Ubah saiz-+=