PKNM dikenali MCorp tahun hadapan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

LENDU 12 November – Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan dikenali sebagai Melaka Corporation atau nama komersialnya MCorp bermula tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penjenamaan semula itu bercirikan komersial dan mempunyai elemen korporat sesuai dengan transformasi semasa.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, sejak ditubuhkan pada 1971 PKNM memainkan peranan yang amat besar dalam mengembangkan lagi ekonomi negeri Melaka.

Menurutnya, usaha itu membuahkan hasil membanggakan apabila Negeri Melaka kini menjadi pilihan utama pelabur antarabangsa terutama yang mahu bertapak di Malaysia.

“Peranan utama PKNM adalah memajukan sosio ekonomi Negeri Melaka membabitkan empat bidang utama iaitu, perindustrian, pelancongan, perumahan dan perniagaan serta perdagangan.

“Antara usaha PKNM yang sudah membuahkan hasil adalah membangunkan kawasan-kawasan perindustrian yang mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada anak jati Negeri Melaka.

“Kira-kira 15 peratus atau 150,000 daripada satu juta rakyat Negeri Melaka mendapat faedah menerusi peluang pekerjaan ditawarkan hasil pelaburan yang masuk ke negeri ini khususnya daripada syarikat Jerman yang membawa jumlah paling besar,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Aspirasi PKNM Bersama #Keluarga Malaysia Tahun 2022 di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Lembaga Pengarah PKNM Datuk Mohamad Azmi Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNM Datuk Mashitah Ismail, Adun Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad.

Pada Majlis sama Ab Rauf turut meluangkan masa menyampaikan bantuan kepada koperasi, selain hadiah utama kepada pemenang cabutan bertuah dan pertandingan melukis bagi kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3486
Kongsi :
Previous post Hadiah tahun baharu buat anak muda Jasin
Next post Melaka bangunkan 1,277 unit rumah penjawat awam
Ubah saiz-+=