Melaka bangunkan 1,277 unit rumah penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

JASIN 12 November – Kerajaan Negeri telah membangunkan sebanyak enam Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) terdiri daripada 1,277 unit rumah di seluruh Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sehingga 31 Oktober tahun ini, sebanyak 1,077 telah siap dibina manakala 200 unit lagi dalam pembinaan.

Katanya, lima PPAM yang telah siap adalah di PPAM Tanjung sebanyak 95 unit rumah, PPAM Taman Angkasa Nuri (138 unit), PPAM Taman Bertam Impian (153), PPAM Jasin Bestari (546 unit) dan PPAM Taman Mekar Jaya (145 unit).

“Manakala satu lagi projek yang masih dalam pembinaan di PPAM Admiral Residence, Kota Laksamana adalah sebanyak 200 unit.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan terhadap projek-projek perumahan baharu di Negeri Melaka khususnya buat penjawat awam dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program PPAM di Taman Mekar Jaya, Air Baruk di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Khaidirah Abu Zahar; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan; calon Barisan Nasional Parlimen Jasin Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

IMG_20221112_140132_723
JASIN 12 NOVEMBER 2022. Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) di Taman Mekar Jaya, Bemban, Jasin. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kesemua penjawat awam yang membeli rumah PPAM adalah pembeli rumah pertama sahaja.

Jelasnya, kesemua PPAM dalam Melaka terdiri daripada tiga jenis rumah.

“Di semua PPAM, akan ada tiga jenis rumah, iaitu rumah kos rendah atau dikenali sebagai Rumah Bahagia.

“Rumah kos sederhana dikenali sebagai Rumah Sejahtera dan rumah mampu milik dikenali sebagai Rumah Impian A dan Rumah Impian B,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3057
Kongsi :
Previous post PKNM dikenali MCorp tahun hadapan
Next post PKNM sentuh hati orang Melaka
Ubah saiz-+=