Hajat bertunang, nikah Ogos depan tidak kesampaian

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 25 Jun – ‘Arwah merancang untuk bertunang dan nikah, sekali gus pada Ogos, tapi tiada rezeki…’

Demikian luahan abang kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas I TMK, Muhammad Arif Idris, 26, yang maut dalam nahas kemalangan di Sabah, kelmarin.

Muhammad Akhbar Idris, 30 berkata, dia dan keluarga masih terkejut dengan pemergian itu, namun reda dengan ketentuan-Nya.

“Kita di pihak keluarga walau macam mana sekali pun kena reda. Inilah tanggungjawab dia sebagai tentera.

“Yang penting, kami sekeluarga tahu, dia bukan pergi bergurau, tetapi dia pergi ketika menjalankan tugas. Masa sebelum bertugas pun dia sudah maklumkan kami dan kami terima seadanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Klebang Besar, petang tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Akhbar berkata, tidak ada sebarang kejadian atau kelakuan aneh berlaku sebelum pemergian Allahyarham.

Sebaliknya, Allahyarham hanya meneruskan rutin seperti biasa dengan menghubungi ibunya setiap hari.

“Sehari sebelum pemergiannya memang dia ada hubungi mak, tetapi dia berhubung seperti biasa, sama macam setiap malam. Tiada yang pelik dan bagi saya semua ini sudah ketentuannya dan kami terima,” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klebang Besar pada jam 4 petang.

Muhammad Arif, anak kedua dari tiga beradik dilaporkan maut bersama dua lagi anggota TLDM, iaitu Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan dan Allahyarham Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim, selepas trak tentera yang dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu 12.55 tengah hari Selasa.

Semua mangsa merupakan anggota Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan.

Views:

608
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal maut dirempuh
Next post COVID-19: 11 hari berturut-turut tiada kematian direkodkan
Ubah saiz-+=