Hang Tuah pernah jejak kaki di tiga daerah Selatan Thailand

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Kisah tentang Hang Tuah yang merupakan seorang laksamana atau pahlawan Melayu yang taat kepada rajanya tidak pernah luput ditelan zaman.

Malah, kisah tentang pahlawan itu semakin mendapat perhatian khususnya Kerajaan Negeri Melaka sehingga berkunjung ke tiga daerah di Selatan Thailand baru-baru ini.

Tiga daerah itu adalah Pattani, Narathiwat dan Yala yang dipercayai mempunyai cerita tentang sejarah Hang Tuah berkunjung ke daerah itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, di Selatan Thailand cerita tentang Hang Tuah sentiasa berlegar menyebabkan Kerajaan Negeri berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang tinggalan yang ada.

“Di negara ini ada cerita tentang Hang Tuah termasuk dalam manuskrip-manuskrip lama berkaitan dengan sejarah pahlawan ini.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri mengadakan lawatan ke negara ini membuat kajian sejarah tentang Hang Tuah.

“Turut menyertai lawatan ini adalah wakil daripada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) bagi melihat kerjasama yang boleh dibawa pulang ke Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, antara destinasi yang menjadi persinggahan adalah Perigi Hang Tuah di Kampung Keresik, Pattani; makam sejarah raja-raja Pattani, Universiti Fatoni, Thailand dan banyak lagi.

“Menurut sejarah orang di sana perigi Hang Tuah ini memang dibuat oleh Hang Tuah semasa beliau datang ke Thailand untuk membeli gajah perang.

“Kita sempat singgah Universiti Fatoni bagi menjalinkan kerjasama dengan menawarkan mereka tempat di UNIMEL bagi program perubatan diploma.

“Selepas itu, kita pergi ke Narathiwat untuk melawat muzium al-Quran, di muzium ini terdapat al-Quran lama dari seluruh dunia, seperti Turki, Indonesia dan lain-lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Lebih 8,000 warga PBT berkampung di Melaka
Next post Piala Emas Khir Johari: Melaka mahu akhiri kemarau 39 tahun
Ubah saiz-+=