Piala Emas Khir Johari: Melaka mahu akhiri kemarau 39 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Januari – Melaka bertekad mahu mengakhiri kemarau 39 tahun untuk menjulang piala kejohanan sepak takraw tertua dunia, Piala Emas Khir Johari yang membuka tirai 22 Januari ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sasaran itu ditetapkan selepas pihaknya melakukan transformasi, termasuk dengan membawa masuk pemain-pemain bertaraf elit.

Menurutnya, komitmen itu turut diperkuat dengan sokongan hebat dan suntikan semangat daripada pemimpin-pemimpin negeri seperti Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.

Selain itu, Melaka turut mendapat sokongan tajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta yang turut bersama mahu menyaksikan piala dibawa pulang ke bumi Hang Tuah.

“Sudah hampir 40 tahun Melaka kehilangan Piala Emas Khir Johari, tapi saya yakin dengan kesungguhan ditunjukkan pemain, komitmen jawatankuasa dan pemimpin-pemimpin negeri kita mampu menjelmakan sesuatu.

“Namun begitu, saya tetap mengingatkan pemain untuk tidak berada dalam posisi terlalu yakin kerana ia dikhuatiri akan memakan diri. Jadi saya minta untuk fokus satu ke satu perlawanan demi memastikan kejuaraan itu berada dalam genggaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama Pemain Melaka yang akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Ke-57 Tahun 2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Tun Mohd Ali yang turut meniupkan kata-kata semangat kepada barisan pemain.

Untuk rekod, pada kejohanan itu, Melaka akan diperkuatkan dengan beberapa tonggak kebangsaan, antaranya Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong); Mohamad Azlan Alias (apit kanan); Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) dan Mohd Muqlis Borhan (apit kiri).

Melaka diletakkan di dalam kumpulan D bersama-sama Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Kejohanan edisi ke-57 ini turut menampilkan kelainan dengan mempertandingkan acara regu pemain bawah 21 tahun dan ia akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar bermula 22 Januari dan berakhir 27 Januari 2024.

SENARAI PENUH PEMAIN MELAKA:-

**Tekong:
– Mohammad Syahir Mohd Rosdi
– Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican
– Muhammad Khobil Sapair
– Muhammad Syakir Jamal

**Apit Kanan:
– Mohamad Azlan Alias
– Mohd Khairul Zaman Hamir Akhbar
– Muhammad Asyraaf Zawawi
– Muhammad Ariff Daniel Mohammad Aripin

**Apit Kiri:
– Mohd Muqlis Borhan
– Muhammad Zaim Razali
– Muhammad Rizal Maamor
– Muhammad Zafar Jaafar
– Muhammad Raqib Effendi

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Hang Tuah pernah jejak kaki di tiga daerah Selatan Thailand
Next post Angkara untung 30 kali ganda, pesara guru rugi lebih RM1 juta
Ubah saiz-+=