Hanya 10 peratus pesakit COVID-19 sudi berkongsi maklumat peribadi

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER MOLEK 8 Feb. – Hanya sekitar 10 peratus pesakit COVID-19 di negeri ini bersetuju menandatangani surat aku janji mendedahkan butiran peribadi sekali gus menimbulkan masalah dalam pemantauan dan penyampaian sumbangan kit makanan kepada mereka yang menjalani kuarantin di rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tanpa butiran peribadi itu, sukar untuk pihaknya memberikan maklumat kepada pihak lain seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan ia tertakluk kepada Akta Kerahsiaan Pesakit.

“Sebelum ini Jabatan Kesihatan Negeri mencadangkan pesakit menandatangani aku janji untuk namanya didedahkan atau diberi kepada agensi lain. Tapi malangnya, ramai yang enggan menandatanganinya.

“Jadi, susahlah pihak lain nak buat kerja sampaikan bantuan dan sebagainya. Boleh dikatakan hanya sekitar 10 peratus yang setuju tandatangan surat aku janji itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di pejabatnya di JAPERUN Ayer Molek, hari ini.

Justeru, Rahmad berkata, sebagai langkah alternatif pihaknya menggesa setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memainkan peranan dalam membantu kira-kira 400 pesakit COVID-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

“Seperti di DUN Ayer Molek, kita menggunakan struktur JPKK yang lebih mengetahui keluarga yang menjalani kuarantin di rumah dan membantu untuk menghantar bantuan kit makanan.

“Kerajaan sudah menyediakan peruntukan RM100,000 untuk setiap DUN, jadi kita sememangnya sentiasa bersedia menyalurkan kit makanan tersebut kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya masih terdapat pesakit tidak menerima bantuan kit makanan sepanjang menjalani kuarantin di rumah, Rahmad berkata, mereka boleh menghubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di kawasan masing-masing untuk sebarang bantuan.

Views:

312
Kongsi :
Previous post Mengaku terima RM2,500, pembantu tadbir kanan KEMAS Melaka didenda RM3,000.
Next post Nak pinjam RM20,000, bayar ‘duti setem’ RM19,618
Ubah saiz-+=