Nak pinjam RM20,000, bayar ‘duti setem’ RM19,618

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MASJID TANAH 8 Feb. – Seorang wanita pemilik syarikat katering di sini kerugian RM19,618 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud di atas talian, bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, dalam laporannya, mangsa berusia 23 tahun itu mendakwa dia memohon pinjaman peribadi RM20,000 selepas berurusan dengan seorang lelaki menerusi WhatsApp dan panggilan telefon pda 29 Januari lalu.

Katanya, mangsa sebelum itu melayari satu laman sesawang: http://MPIRE-CAPITAL.COM untuk memohon pinjaman itu dan selepas mencapai persetujuan, suspek mengarahkannya membuat bayaran bagi tujuan duti setem dan kelulusan pinjaman.

“Mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM19,618 ke dalam lima akaun bank berbeza bermula 31 Januari hingga 5 Februari lalu, namun masih tidak menerima pinjaman yang dijanjikan.

“Malah suspek terus meminta mangsa memasukkan wang, namun wanita itu tidak mengikutinya dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada 5 Februari lalu kerana berasa ditipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sundra Rajan berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya melakukan siasatan dan mendapati satu daripada nombor akaun bank yang digunakan suspek, terlibat dengan lapan laporan dengan menggunakan modus operandi sama.

Katanya, kerugian kumulatif yang dialami mencecah RM71,739 membabitkan lapan mangsa yang ditipu sebelum ini.

“Bagi mengelakkan perkara seumpama ini berlaku pihak polis menasihati orang ramai supaya membuat pinjaman di institusi kewangan berlesen dan menyemak nombor telefon atau akaun bank yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi’Check Scammers CCID’,” katanya.

Views:

437
Kongsi :
Previous post Hanya 10 peratus pesakit COVID-19 sudi berkongsi maklumat peribadi
Next post Kadar kebolehjangkitan COVID-19 Melaka dijangka turun
Ubah saiz-+=