Kadar kebolehjangkitan COVID-19 Melaka dijangka turun

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 8 Feb. – Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 harian Melaka yang merekodkan bacaan tertinggi negara iaitu 1.17 semalam, dijangka menurun beberapa hari lagi selepas saringan Kluster Industri Serkam selesai dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan kadar Rt itu berpunca daripada 16 kluster aktif dilaporkan sepanjang minggu lalu.

Beliau berkata, Kluster Industri Serkam antara penyumbang utama peningkatan kadar Rt apabila merekodkan peningkatan 80 peratus kes positif COVID-19 diikuti Kluster Tembok Sungai Udang, 10.7 peratus.

“Melaka sekali lagi merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi di negara yang sebelum ini mencatat Rt 1.36 pada 24 Januari lalu, malah pernah mencatatkan kadar terendah kebolehjangkitan kes iaitu 0.96 pada 3 Februari lalu.

“Kita jangkakan terdapat sedikit peningkatan kes positif melibatkan Kluster Industri Serkam pada hari ini serta esok manakala kes kumulatif kluster itu sudah mencecah 800 kes setakat semalam.

“Insya-Allah, kalau semua berlaku dengan baik dalam tempoh tiga empat hari lagi Rt negeri ini akan menurun. Ini jangkaan saya dan kita sama-sama berharap,” katanya kepada media di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Molek, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kadar Rt tersebut mencatatkan 1.17 dengan bacaan nisbah 100 kes positif bakal cenderung menjangkiti kepada 117 orang di negeri ini.

Justeru, beliau menyeru rakyat negeri ini sentiasa berwaspada dan mengamalkan pencegahan dengan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan keluar apabila perlu bagi memutuskan rantaian wabak tersebut.

“Saya menyeru semua rakyat negeri ini terutamanya mereka yang bekerja tak kira di pejabat atau di lapangan, mestilah terus patuh sepenuhnya SOP kesihatan kerana COVID-19 negeri.

“Situasi Melaka buat masa ini hampir keseluruhan mukimnya berada dalam zon merah,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, Melaka mencatatkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 harian tertinggi negara diikuti Selangor (1.10), Johor (1.09), Pulau Pinang (1.07), Kuala Lumpur (1.03) dan Sarawak (1.01).

Views:

315
Kongsi :
Previous post Nak pinjam RM20,000, bayar ‘duti setem’ RM19,618
Next post Tidak hanya hematoma, Azizan kini diuji kanser
Ubah saiz-+=