Tidak hanya hematoma, Azizan kini diuji kanser

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 8 Feb. – Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Itu nasib bekas penyerang Melaka Azizan Baba yang kini disahkan menderita kanser selepas menjalani pembedahan hematoma pada paha kirinya.

Sebelum ini, Azizan yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang dan Sarawak baru sahaja menjalani pembedahan sebanyak dua kali di sebuah hospital swasta dan sedang menjalani pemulihan.

Berita Harian melaporkan Azizan tidak menyangka apabila doktor memaklumkan pada Sabtu lalu, penyakit hematoma dihidapinya mungkin melarat menjadi kanser.

“Memang terkejut apabila doktor memberitahu kemungkinan besar penyakit ini beralih kepada kanser dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

“Tetapi walau apa pun saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana apa yang paling utama saya perlu kembali pulih daripada pembedahan dan penderitaan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, pemain berusia 39 tahun itu berkata, penderitaan yang dialaminya bermula pada Ogos tahun lalu selepas mengalami kecederaan hamstring.

Akibat kecederaan itu, dia terpaksa menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku di Hospital Melaka Disember lalu sebelum disahkan menghidap hematoma.

Rentetan daripada itu, ujarnya, dia terpaksa menjalani dua lagi pembedahan di hospital swasta dengan kos perbelanjaan keseluruhan RM28,000.

“Pada awalnya jangkaan kos ialah sekitar RM20,000, namun ia meningkat menjadi RM28,000. Bagi mengurangkan kos, saya terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital sepanjang menjalani rawatan

“Apa pun saya berterima kasih kepada bekas pemain Melaka, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan semua yang menymbang bagi menampung kos rawatan sebelum ini.

“Begitu juga dengan tiga bekas pengurus dan pegawai Persatuan Bolasepak Sarawak yang menjadi penyumbang terbesar bagi membolehkan pembedahan dapat direalisasikan,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin membantu bekas pemain terbabit boleh menyumbang di nombor akaun Maybank 154026372544 (Azizan Baba).

Views:

601
Kongsi :
Previous post Kadar kebolehjangkitan COVID-19 Melaka dijangka turun
Next post Polis keluarkan 749 kompaun sepanjang 21 hari PKP 2.0
Ubah saiz-+=