Mengaku terima RM2,500, pembantu tadbir kanan KEMAS Melaka didenda RM3,000.

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 8 Feb – Seorang Pembantu Tadbir Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima wang RM2,500 daripada seorang lelaki, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Norshahril Ramlee, 40, yang bertugas di Unit Kewangan, KEMAS Melaka, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini.

Tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menerima suapan RM2,500 tanpa balasan daripada Mohd Hyzery Elec, di 379-1 Jalan Melur 1, Taman Peringgit Jaya, dekat sini, pada 14 November 2016, yang mana individu itu diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Norshahril didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan tertuduh membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Pada 10 September dan 26 Oktober lalu, Norshahril mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan sebutan kes itu ditetapkan pada hari ini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post Polis Melaka periksa setiap individu kuarantin kendiri, pastikan tiada pelanggaran SOP.
Next post Hanya 10 peratus pesakit COVID-19 sudi berkongsi maklumat peribadi
Ubah saiz-+=