Harga durian masih tinggi, ambil risiko terus berniaga – Peniaga

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

DUYONG 7 Jun – Peniaga durian di negeri ini berdepan kerugian akibat kekurangan pelanggan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.

Keadaan itu bukan perkara baharu malah sudah menjejaskan pendapatan peniaga sejak PKP 1.0 dilaksanakan tahun lalu.

Seorang peniaga durian Abdul Rahim Ithnin, 43, berkata kekurangan pelanggan mencecah 70 peratus sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

ABDUL RAHIM

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana peniaga kecil sepertinya dibenarkan berniaga meskipun menghadapi cabaran itu.

“Durian baru mula gugur, jadi harga masih tinggi dan apabila harga tinggi, susah kita hendak dapat pelanggan terutamanya tidak boleh rentas daerah dan negeri, jadi pelanggan saya berkurangan 60 hingga 70 peratus.

“Jadi, saya terpaksa ambil risiko, hari ini berniaga mungkin minggu depan ada untung sedikit atau rugi sedikit.

“Jadi, nak tak nak terpaksa teruskan jika kita tidak berniaga, memang rugi teruk.

“Jualan biasanya laris pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, namun jika hari waktu bekerja harap pulang modal sahaja,” katanya yang mendapat bekalan buah dari Johor dan Melaka.

ZAINUDIN bersyukur mempunyai pelanggan tetap yang membeli durian di gerai jualannya.

Bagi Zainudin Md Nor,52, meskipun musim buah itu baru bermula, namun berikutan dengan faktor ekonomi isi rumah yang terpaksa berjimat-cermat menjadi antara faktor hasil jualannya tidak selaris dulu.

Katanya, ditambah dengan faktor harga tinggi ditetapkan pemborong mengakibatkan dia tidak mempunyai pilihan untuk mengekalkan harga tinggi selain tidak mahu mengambil risiko memborong durian dalam kuantiti yang banyak.

“Sebagai peniaga, memang agak terkesan kerana PKP 3.0 ini ramai pelanggan ekonomi mereka tidak berapa baik, tiada kerja dan sebagainya, jadi hasil jualan agak perlahan.

“Hendak kata tiada pelanggan, tidak juga, saya sendiri mempunyai pelanggan tetap namun ada dalam kalangan penggemar durian lebih suka beli secara terus dari kebun kerana harga jauh lebih murah, jadi mereka agak berkira sedikit dalam situasi begitu.

“Kalau dulu, pelanggan boleh borong sehingga 10 kilogram tetapi sekarang mungkin agak berkira hanya beli satu atau dua tiga biji saja,” katanya ketika ditemui di gerai jualannya di Semabok, di sini.

ZAINUDIN

Mengulas lanjut, Zainudin atau lebih dikenali Pak Ngah berkata, dia juga tidak mempunyai pilihan lain untuk menurunkan harga kerana pemborong atau pengusaha kebun telah menetapkan harga tinggi.

“Contohnya, bagi durian kampung harganya masih tinggi kerana musim baru mula, lebih kurang RM15 hingga RM18 sekilogram.

“Buat masa ini harga masih belum boleh runding kerana peniaga durian semakin ramai dan buah juga baru gugur melainkan kalau berlaku lambakan buah, baharu harga durian diturunkan,” katanya yang menjual durian kahwin antara RM25 hingga RM38 sekilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1139
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa khas kaji sidang Parlimen hibrid teliti konsep, pelaksanaan- Rais Yatim
Next post Jumlah kes keracunan makanan catat penurunan 44.2 peratus- Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=