Jawatankuasa khas kaji sidang Parlimen hibrid teliti konsep, pelaksanaan- Rais Yatim

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jun – Jawatankuasa khas bagi mengkaji konsep dan mekanisme sidang Parlimen secara hibrid telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaannya dari pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom dan Australia.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, beberapa aspek penting sedang dalam penelitian jawatankuasa khas, khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan untuk diterima pakai, demi memastikan tiada pelanggaran perundangan melibatkan prosedur operasi standard COVID-19 yang berkuat kuasa pada masa ini.

“Ini kerana konsep dan prosedurnya melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan termasuk Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan, tetapi juga ketentuan baharu berkaitan kelakuan serta tingkah laku ahli-ahli Parlimen sendiri selain hal ehwal prasarana dan kelengkapan legislatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim. Foto internet

Menurutnya, jawatankuasa khas yang dianggotai antara lain Yang Dipertua Dewan Negara,Yang Dipertua Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen itu akan meneruskan mesyuarat susulan esok (8 Jun).

Rais berkata jawatankuasa khas itu secara khusus mengambil kira himpitan pandemik COVID-19 yang kini melanda negara dan rakyat serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan pemerintahan raja berperlembagaan.

“Selain itu, jawantankuasa khas turut sama mengambil kira implikasi kuat kuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemas kini prasarana yang sedia ada melibatkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 senator di seluruh negara.

“Justeru, dengan terlaksananya projek legislatif ini, ia merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen, sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi, perlu berfungsi,” katanya.

Rais berkata usaha itu membuktikan kepada rakyat bahawa pihak legislatif dan eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa, khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh ahli Parlimen dan para senator dalam mengatasi ancaman COVID-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dan keseluruhan kes menjangkau 616,815.

“Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini, kuasa-kuasa eksekutif dan legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa) 1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post Rentas negeri, ziarah raya punca kluster terbesar daerah Hulu Terengganu
Next post Harga durian masih tinggi, ambil risiko terus berniaga – Peniaga
Ubah saiz-+=