Hargai pembinaan baharu IPD Melaka Tengah

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang baharu bakal memberi keselesaan dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pegawai serta anggota agensi penguatkuasa itu kepada masyarakat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keprihatinan Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dalam menyampaikan hasrat itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, amat dihargai.

Jelasnya, usaha Ketua Menteri dalam menjaga kebajikan semua pihak termasuk agensi keselamatan akan membantu memantapkan lagi perkhidmatan.

“Mewakili warga IPD Melaka Tengah saya berterima kasih bukan sahaja kepada Kerajaan Persekutuan tetapi juga Kerajaan Negeri yang begitu prihatin terhadap keperluan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Apabila siap kelak, bangunan baharu itu nanti pastinya akan memberi keselesaan kepada kepada pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas harian dalam suasana yang lebih kondusif.

“Kemudahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada waga IPD Melaka Tengah, sebaliknya orang awam datang berurusan dengan pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf mewakili Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan IPD Melaka Tengah dan Balai Polis Ayer Keroh berikutan kekangan agensi keselamatan itu untuk beroperasi di bangunan sedia ada.

Beliau berkata IPD Melaka Tengah ketika ini beroperasi di sebuah bangunan dibina pada 1924 yang dijadikan sebagai pejabat pentadbiran British dikenali sebagai ‘Malacca Volunteer Drill Hall’ bagi pasukan ‘The Straits Settlement Volunteer Force’ (SSVF) hingga 1948.

“Cadangan pembinaan IPD Melaka Tengah yang baharu telah diangkat dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menerusi Rolling Plan ke-5 dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta di atas sebidang tanah berkeluasan 4.94 hektar di Krubong, di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

616
Kongsi :
Previous post Melaka perlu perkukuh sekuriti makanan, ambil kira isu dan cabaran
Next post Ikhlas berbakti kunci kejayaan raih APC ketiga
Ubah saiz-+=