Hari pertama dah ‘ponteng’ puasa…
BUKIT RAMBAI 23 Mac – Mengaku sakit mental, terlupa bersahur dan menghidap sakit jantung antara alasan yang diberikan tiga lelaki ketika ditangkap dalam operasi Perangi Jenayah Syariah (PERJASA) oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), hari ini.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata kesemua lelaki yang ditahan berusia 45 hingga 79 tahun.
Katanya, ketika ditahan di lokasi berbeza, kesemua mereka sedang menghisap rokok dan membeli makanan.
“Bagaimanapun, ketika ditahan, mereka yang mengaku menghidap penyakit mental dan jantung gagal mengemukakan sebarang bukti kad rawatan atau kad pemeriksaan serta dokumen berkaitan.
“Operasi dan pemeriksaan dijalankan di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang menjadi tumpuan orang Islam yang tidak berpuasa di sekitar kawasan Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
“Operasi bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 2.00 petang tadi di mana operasi ini akan dilaksanakan secara mengejut setiap hari,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, kesemua lelaki yang ditahan diberikan Surat Perintah Hadir (SPH) ke JAIM untuk memberikan keterangan, siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (EKSNM) dan boleh dihukum mengikut kategori kesalahan.
“Hukuman seperti makan, minum, menjual dan membeli sepanjang Ramadan bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan RM2,000 atau penjara 12 bulan bagi kesalahan kedua.
“Manakala bagi menghisap sebarang tembakau (rokok) atau seumpamanya bagi kesalahan pertama boleh didenda RM500 atau penjara tiga bulan bagi kesalahan pertama dan denda RM1,000 serta enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Che Sukri turut memaklumkan pihaknya turut merampas sebanyak 14 unit tabung derma haram (tabung tinggal) menerusi 14 kedai yang diperiksa dalam operasi yang sama.
“JAIM turut menampal poster-poster Kempen Penghayatan Ramadan di premis-premis terutamanya poster berkaitan kesalahan tidak berpuasa.
“Operasi ini adalah hasil daripada maklumat yang diberikan oleh orang awam dan Rakan Setiaku JAIM (RASIM) yang membantu pihak JAIM dalam menyalurkan maklumat aktiviti yang tidak menghormati bulan Ramadan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.